Ahli akademik beri respon positif lepas RUU Mufti Wilayah sah ditangguh
Sidang Parlimen kali ini memutuskan tidak akan meneruskan bacaan kali kedua Rang Undang-Undang (RUU) Mufti (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 2024, sekaligus ditangguh ke Mesyuarat Dewan Rakyat akan datang.
Pengumuman penangguhan itu dibuat Timbalan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Dr Zulkifli Hasan.
Memetik Bernama, ia dibuat mengikut Peraturan Mesyuarat 62, Peraturan-Peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat, selepas sesi soal jawab lisan persidangan hari ini.
RUU berkenaan dibentangkan bagi bacaan kali pertama pada Julai lalu, antara lain untuk mengadakan peruntukan bagi perkara yang berhubungan dengan mufti serta penentuan perkara mengenai hukum dan doktrin syarak.
RUU itu turut memperincikan fungsi dan peranan mufti dalam membantu dan menasihati Yang di-Pertuan Agong berkenaan dengan semua perkara hukum syarak, tata cara mengeluarkan fatwa, pendapat berhubung hukum syarak di mahkamah serta penentuan arah kiblat.
Sementara itu, seorang ahli akademik memberi respon positif terhadap pengumuman berkenaan, mengucapkan terima kasih atas keprihatinan kerajaan.
“Tepat jam 7.55pm, sidang Dewan Rakyat Mesyuarat Ketiga, Parlimen ke-15 2024 berakhir.
“Terima kasih YAB DS Anwar Ibrahim sebagai Ketua Majlis kerana memutuskan RUU Mufti Wilayah tidak diteruskan untuk sidang kali ini. #MadaniMendengar,” kata Abu Hafiz Salleh Hudin dalam satu hantaran di Facebook.
Sebelum ini pensyarah kanan Universiti Islam Antarabangsa (UIA) itu berkata, sekiranya kerajaan menangguhkan bacaan kali kedua Rang Undang-undang (RUU) Mufti (Wilayah Persekutuan) 2024, ianya akan membolehkan isu perpecahan umat Islam ditangani dengan lebih baik.
Langkah tersebut juga katanta menunjukkan Perdana Menteri mengotakan janjinya untuk membina Malaysia Madani yang bersifat inklusif.
BACA JUGA Euro 2024, Sumbangan Tunai Rahmah antara carian Google paling banyak dicari tahun ini