PM setuju bantuan FLYsiswa dinaikkan kepada RM400

Kerajaan bersetuju menaikkan bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan menerusi FLYsiswa daripada RM300 kepada RM400 seorang bermula 1 Januari 2025.

Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, tambahan bantuan itu sebagai tanda kepedulian kerajaan terhadap mahasiswa yang berdepan isu tiket penerbangan setiap kali ingin pulang ke negeri masing-masing.

“Untuk tahun hadapan, kita naik kepada RM400 daripada RM300 sebelum ini.

“Ini cara kita untuk tunjuk keprihatinan kerajaan ringankan sedikit beban anak-anak dari negeri yang terlibat,” katanya dalam majlis Karnival Pengangkutan Siswa Madani di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam

Bantuan itu bakal memanfaatkan 74,500 pelajar daripada universiti awam, politeknik, Institusi Pendidikan Guru (IPG) dan matrikulasi seluruh negara.

Pelaksanaan ini juga dijangka akan memanfaatkan lebih kurang 60,000 orang pelajar yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik di antara Semenanjung, Sabah, Sarawak dan Wilayah Persekutuan Labuan.

Semenjak pelaksanaan inisiatif tersebut pada 2023 hingga 10 Disember lalu, seramai 74,500 orang pelajar (73 peratus) daripada keseluruhan 102,150 pelajar yang layak telah menerima manfaat daripada bantuan subsidi tiket penerbangan ini.

BACA JUGA Ahmad Samsuri bagi ‘hint’ lepas letak jawatan Bendahari Agung PN