Khalid tak tolak kemungkinan Ahmad Samsuri protes Majlis Tertinggi PN dikuasai Bersatu

AMANAH tidak menolak kemungkinan peletakan jawatan Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri sebagai Bendahari Agung Perikatan Nasional (PN) adalah disebabkan barisan kepimpinan gabungan itu dikuasai parti sekutunya Bersatu.

Pengarah Komunikasi AMANAH Nasional, Khalid Samad berkata, itu andaian yang dibuat ramai memandangkan PN baru sahaja mengumumkan pelantikan Datuk Seri Azmin Ali sebagai Setiausaha Agung baharu, yang diikuti beberapa ahli Bersatu lain ke jawatan penting.

Justeru Khalid yang juga bekas Ahli Parlimen Shah Alam berkata, apa yang dilakukan Ahmad Samsuri berkemungkinan adalah sebagai tanda protes.

“Isu ini kita tunggu penjelasan daripada orang yang letak jawatan itu sendiri tetapi ramai mengandaikan ianya adalah tanda protes kerana hampir semua jawatan utama dalam PN dipegang oleh Bersatu termasuklah SUA yang diserahkan kepada Azmin sedangkan Pas menamakan Datuk Seri Takiyuddin.

“(Jawatan) Presiden dan Timbalan Presiden dah memang Bersatu yang pegang. Ketua pembangkang pun Bersatu yang pegang. Mungkin ini sebagai tanda satu protes yang ditunjukkan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam segmen Bicara Hj Khalid Samad (Siri 247), bertajuk “Politik Fitnah Politik Islam?” yang disiarkan di Facebook Parti Amanah Negara malam tadi.

Khalid berkata, tindakan Ahmad Samsuri yang berdiam diri boleh ditafsirkan sebagai langkah mahu mengurangkan impak perpecahan dalam kalangan parti-parti gabungan PN.

Sehingga kini pemimpin Pas itu enggan mengulas apa-apa, dan sikap itu menurut Khalid jelas tidak mahu memburukkan lagi keadaan.

“Dia tidak mengapi-apikan keadaan, tidak menghentam PN dan tidak menjelaskan mengapa dia letak jawatan.

“Dia sedang melakukan sesuatu untuk kawal impaknya supaya tidak terlalu menghasilkan perpecahan, perbalahan sesama mereka,” katanya lagi.

Bagaimanapun bagi Khalid, tindakan Menteri Besar Terengganu itu sendiri boleh dibaca sebagai protes kerana Pas seolah-olah dianaktirikan.

Terdahulu pada Isnin 9 Disember, Azmin Ali secara rasminya menganggotai barisan tertinggi PN sebagai SUA.

Mesyuarat Majlis Tertinggi pada hari itu turut mengesahkan pelantikan Ketua Srikandi Bersatu, Datuk Mas Ermieyati sebagai Ketua Wanita PN dan Naib Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu dilantik Ketua Penerangan PN.

Bersatu turut menamakan tiga pemimpin untuk menganggotai MT PN selaras dengan keputusan pemilihan parti baru-baru ini termasuklah Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Hamzah Zainudin sebagai Timbalan Pengerusi PN.

Dua yang lain menganggotai MT PN adalah dua orang Naib Presiden Bersatu iaitu Datuk Dr Radzi Jidin dan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee.

BACA JUGA Ahli akademik beri respon positif lepas RUU Mufti Wilayah sah ditangguh

Â