Pinjam MARA RM1 juta: Selebriti ini dan anak sulung berdepan muflis

Dalam perkembangan terbaharu mengenai kes Rozita  Che Wan, bahagian undang-undang Majlis Amanah Rakyat (MARA) kini dilaporkan dalam proses pemfailan kebankrapan terhadap selebriti itu dan anak sulungnya.

Ia berhubung kegagalan membayar pinjaman yang dibuat sejak 2017 berjumlah RM1 juta, walaupun pelbagai usaha diambil MARA bagi mendapatkan semula wang berkenaan sehingga membawa kes itu ke mahkamah.

Ini bukanlah kali pertama MARA mengemukakan notis bankrap terhadap pelakon berusia 51 tahun itu kerana ia pernah difailkan kali pertama pada Julai tahun lalu sebelum terpaksa ditarik balik.

Menurut Bernama, pinjaman MARA berjumlah RM960,000 dibuat syarikat milik pelakon itu, RCW Worldwide Sdn Bhd dengan Rozita dan anak lelakinya Ammar Effendy, 28, sebagai penjamin.

Difahamkan, pada Julai tahun lalu, MARA sudah memfailkan notis kebankrapan kepada Rozita dan anaknya itu tetapi disebabkan wujud isu teknikal, ia ditarik balik pada bulan lalu sebelum diteruskan dengan tindakan writ penyitaan dan penjualan (WSS) harta pelakon terbabit.

Langkah itu adalah prosedur susulan yang dilakukan terhadap selebriti itu selepas dia gagal melunaskan hutangnya dalam tempoh tujuh tahun.

BACA JUGA Khalid tak tolak kemungkinan Ahmad Samsuri protes Majlis Tertinggi PN dikuasai Bersatu

Â