Kereta elektrik pertama Proton sah dijadikan kenderaan rasmi ASEAN 2025

Model sulung kenderaan elektrik pertama Proton, e.MAS 7 secara rasminya dipilih sebagai kereta rasmi bagi Malaysia sepanjang penganjuran ASEAN pada 2025.

Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika berucap pada majlis pelancaran e.MAS 7 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC), hari ini.

Anwar berkata, ia sebagai tanda sokongan Kerajaan Madani terhadap kerjasama Proton dan Geely yang membangunkan model berkenaan.

“Hari ini saya bukan sahaja hadir meluncurkan e.MAS 7, model EV pertama Proton, tetapi memberikan sokongan padu. Contohnya untuk ASEAN pada tahun hadapan, e.MAS 7 adalah kenderaan rasmi kita,” katanya.

Beliau berkata, Malaysia berharap dapat menunjukkan contoh di rantau ini dalam mempromosikan pembangunan EV, dengan menekankan bahawa ia adalah lanjutan yang boleh dilihat secara langsung daripada komitmen pelepasan karbon sifar bersih negara.

Dengan pelancaran e.MAS 7, ia sekaligus mencatatkan detik sejarah penting negara dan mengangkat martabat serta imej Proton.

Model e.Mas 7 ditawarkan pada harga bermula RM120,000 menerusi dua varian iaitu Prime dan Premium.

Kedua-dua varian tersebut menyokong pengecasan pantas arus terus (DC) yang mengambil masa 30 minit untuk mencapai 80 peratus daripada 10 peratus.

BACA JUGA TH tetap teruskan bantuan kewangan RM261 juta kepada jemaah haji