TH tetap teruskan bantuan kewangan RM261 juta kepada jemaah haji
Lembaga Tabung Haji akan meneruskan Bantuan Kewangan Haji secara bersasar bagi musim 1446H/2025M kepada bakal jemaah haji Muassasah yang pertama kali menunaikan ibadat haji.
Bantuan Kewangan Haji pada musim haji kali ini dianggarkan berjumlah RM261 juta dan ini menjadikan jumlah terkumpul meningkat kepada lebih RM2.8 bilion dalam masa 25 tahun.
Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif TH, Syed Hamadah Syed Othman berkata, Jumlah bantuan yang besar ini telah memberikan kesan langsung terhadap kemampanan kewangan THdan pulangan kepada pendeposit.
“Justeru, THtelah mengambil langkah menurunkan kadar Bantuan Kewangan Haji secara berperingkat sejak 2022, ke arah memenuhi konsep kemampuan dalam menunaikan ibadah haji (istito’ah) dan bagi membantu kelestarian kewangan THdemi memelihara kepentingan pendeposit,” katanya dalam kenyataan.
Syed Hamadah berkata, keputusan ini adalah selari dengan resolusi Muzakarah Haji Peringkat Kebangsaan yang menetapkan bakal jemaah haji bertanggungjawab atas perbelanjaan sebenar menunaikan ibadah haji, selari dengan konsep istito’ah di mana ibadat haji diwajibkan bagi umat Islam yang berkemampuan.
Menurutnya, bakal jemaah haji Muassasah kumpulan B40 yang mendapat bantuan krajaan bagi B40, akan menerima Bantuan Kewangan Haji daripada TH sebanyak RM17,300 seorang dan ditambah bantuan Kerajaan sebanyak RM1,000 seorang.
Bantuan yang berjumlah RM18,300 ini adalah lebih separuh (55 peratus) daripada keseluruhan kos haji, menjadikan bayaran haji bagi seorang jemaah B40 berjumlah RM15,000.
Bakal haji Muassasah kumpulan M40 pula akan menerima Bantuan Kewangan Haji berjumlah RM9,800 seorang atau 29 peratus daripada keseluruhan kos jaji. Bayaran haji bagi seorang jemaah M40 ialah RM23,500.
Jemaah Muassasah kumpulan T20 yang berpendapatan individu sekurang-kurangnya RM15,000 sebulan, perlu menjelaskan bayaran penuh kos haji iaitu RM33,300 seorang.
“Ini adalah selari dengan prinsip penyasaran bantuan yang sedang dilakukan oleh Kerajaan.
“Bagi Bakal Haji yang membuat rayuan luar giliran untuk menunaikan haji secara Muassasah, mereka yang terpilih melalui proses rayuan perlu membayar penuh Kos Haji selaras dengan syarat istito’ah,” ujarnya.
BACA JUGA Kos haji kekal RM33,000 tetapi bayaran bakal haji B40, M40 naik sedikit
Â