Heboh ramai mengaku kena ‘scam’ melancong ke Korea, ini penjelasan Kim Seri
Kim Seri akhirnya tampil membuat permohonan maaf dan berjanji akan memulangkan semula wang pelanggan terjejas sebelum atau pada 1 Februari 2025 selepas heboh ramai mengaku kena ‘scam’ melancong ke Korea Selatan.
Pempengaruh media sosial yang juga ibu tunggal itu berkata, dia sedang berusaha sedaya upaya untuk menyelesaikan masalah berkaitan pakej pelancongan ke Korea yang dikendalikannya.
Menerusi laman Instagram, Kim Seri berkata, dokumen akan diberikan kepada semua pelanggan yang telah membuat tempahan sebelum ini.
“Pertama sekali saya ingin meminta maaf dengan setulus hati atas segala kebimbangan dan kesulitan yang telah saya timbulkan.
“Saya memohon agar anda dapat memahami bahawa pada masa ini, saya tidak dapat untuk melunaskan jumlah pemulangan secara sekaligus.
“Namun begitu, saya ingin memberi jaminan bahawa saya akan menyelesaikan masalah ini melalui pelan pembayaran seperti berikut iaitu semua jumlah tertunggak akan dibayar sebelum atau pada 1 Februari 2025,” kata Kim Seri.
Dalam masa sama, wanita berkenaan memberitahu dia pasrah jika hidupnya berakhir di jeriji besi.
“Jika jalanku nanti bawanya dengan rotan dan digantung tali, aku pasrah.
“Ia bukan lagi tentang rasa tenang dan takut, sekarang tentang redha dan pasrah.
“Setelah segala percubaan dalam menemukan jalan, ia masih didatangkan dengan pelbagai ujian,” katanya menerusi hantaran yang berbeza di Instagram.
Terdahulu, tular dakwaan sekumpulan mangsa penipuan pakej pelancongan ke Seoul yang dikendalikan Kim Seri yang memberitahu mereka kena ‘scam’ sejak 4 pagi di lapangan terbang.
Tersebar juga senarai 28 mangsa membabitkan kerugian hampIr RM380,000.
Sehingga hari ini, polis sudah menerima lima laporan polis berhubung dakwaan penipuan tersebut.
BACA JUGA Persundalan: Ini keputusan terhadap Hot Daddy, dua rakan wanita
Â