Persundalan: Ini keputusan terhadap Hot Daddy, dua rakan wanita
Mahkamah Sesyen Kuala lumpur hari ini melepaskan tanpa membebaskan seorang lelaki dikenali sebagai ‘Hot Daddy’.
Turut sama dua rakan wanitanya yang menghadapi pertuduhan membuat iklan persundalan, menjual rakaman video lucah dan memiliki bahan lucah, awal tahun lalu.
Ketiga-tiga tertuduh itu adalah Hasli Ikhwan Arif Zul Hasli, 32, Norshazrina Md Zamri, 27 dan Norhidayah Mahadi, 24.
Hakim Siti Shakirah Mohtaruddin membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan berkata waran tangkap yang dikeluarkan sebelum ini tidak dapat disempurnakan.
Sebelum ini, Timbalan Pendakwa Raya, Nidzuwan Abdul Latip memohon kepada mahkamah untuk melanjutkan tempoh waran tangkap bagi mengesan kesemua tertuduh bagi membolehkan pihak polis memastikan sama ada mereka masih berada di dalam negara atau di luar negara.
Berdasarkan pertuduhan, mereka bertiga didakwa membuat pengiklanan khidmat persundalan mengunakan aplikasi X NOTYOURDADDYY (@HOTDADDYYXX), yang menyebabkan orang yang munasabah akan memahaminya sebagai khidmat persundalan.
Perbuatan didakwa dilakukan di pejabat D7 (Bahagian Pencegahan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap) Bukit Aman pada pukul 10.10 pagi, pada 16 Januari lalu.
Kes tersebut didakwa mengikut Seksyen 372(1)(e) Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama yang membawa hukuman penjara hingga 15 tahun dan sebatan serta denda, jika sabit kesalahan.
BACA JUGA Dakwaan wajibkan pegawai awam miliki BMI seimbang, ini penjelasan JPA