Selepas 18 tahun ditahan di Guantanamo, AS serah dua rakyat Malaysia

Mohammed Nazir Lep, 47, dan Mohammed Farik Amin, 48, akhirnya diserah oleh Amerika Syarikat (AS) selepas 18 tahun kedua-duanya ditahan di Kem Guantanamo, Cuba.

Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, keputusan menerima dua individu berkenaan atas prinsip hak asasi manusia dan dokongan keadilan sejagat.

Sehubungan itu, kerajaan, jelasnya, sudah merangka suatu program reintegrasi yang komprehensif khusus untuk Nazir dan Farik merangkumi bantuan perkhidmatan sokongan, kebajikan dan saringan kesihatan.

“Kementerian Dalam Negeri merakam ucapan penghargaan kepada pelbagai agensi kerajaan yang terbabit dalam menyempurnakan proses penyerahan kedua-dua rakyat Malaysia ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini, Nazir dan Farik mengaku bersalah pada 16 Januari lalu atas pertuduhan bersubahat dalam insiden pengeboman kelab malam di Bali pada tahun 2002.

Kedua-duanya telah ditahan selama bertahun-tahun dalam rangkaian penjara luar negara rahsia Agensi Perisikan Pusat Amerika Syarikat (CIA).

Pada 2006, mereka dipindahkan ke Teluk Guantanamo untuk menghadapi perbicaraan di mahkamah khas keselamatan negara yang ditubuhkan bekas Presiden AS George W Bush selepas serangan 11 September.

Mereka pada 2018 didakwa dengan sembilan kesalahan yang dikaitkan dengan pengeboman kelab malam di Bali pada 2002 yang mengorbankan 202 orang dan pengeboman sebuah hotel yang meragut 11 nyawa pada 2003.

Selain itu, bekas pemimpin gerakan Jemaah Islamiyah, Encep Nurjaman yang juga dikenali sebagai Hambali dari Indonesia turut didakwa.

Namun, pada Oktober 2023, New York Times melaporkan bahawa Farik dan Nazir telah mencapai persetujuan dengan pendakwa raya di Teluk Guantanamo untuk tuduhan menjadi ‘aksesori’ kepada serangan pengganas di Bali.

Susulan itu, kes mereka terbabit diasingkan daripada kes Hambali yang kini menghadapi pertuduhan membunuh dan melakukan keganasan.

BACA JUGA Dakwaan wajibkan pegawai awam miliki BMI seimbang, ini penjelasan JPA

Â