Tular pula kes jenazah ditahan di surau, ini respon tegas menteri agama
Belum reda kisah jenazah seorang bayi lelaki dibeku selama dua minggu, muncul pula pendedahan baharu mengenai jenazah wanita dikatakan ditahan hampir 24 jam gara-gara suaminya tidak cukup wang.
Perkara itu telah menarik perhatian Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar yang mahukan agar satu siasatan dilakukan.
Beliau juga telah mengarahkan Jabatan Agama Islam Wilayah (Jawi) untuk mengambil tindakan segera berhubung dakwaan jenazah ditahan hampir 24 jam di surau Balai Islam Pekeliling, Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur.
“Jawi telah diarah untuk membuat siasatan serta mengambil tindakan dengan segera,” katanya dalam satu kenyataan semalam.
Terdahulu, tular di media sosial mengenai jenazah wanita ditahan di sebuah surau hampir 24 jam yang mana kartel mengenakan bayaran RM2,200 kepada waris.
Bagaimanapun ahli Jawatankuasa surau berkenaan menafikan terlibat dalam memanipulasikan atau mengenakan caj tinggi bagi pengurusan jenazah dan tidak pernah bekerjasama dengan mana-mana pihak.
BACA JUGA Pas kata Najib patut dibebaskan terus, tak perlu tahanan rumah