1BestariNet: Selepas 3 bulan siasat, SPRM sahkan tiada sesiapa akan didakwa

Selepas tiga bulan siasatan dijalankan, Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengesahkan tiada sebarang unsur jenayah dalam pelaksanaan kontrak 1BestariNet di bawah Kementerian Pendidikan (KPM).

Kontrak 1BestariNet dianugerahkan kepada YTL Communications Sdn Bhd (YTL Comms).

Mengesahkan siasatan sejak September lalu telah selesai, SPRM memaklumkan tiada pihak yang akan didakwa berhubung kes berkenaan.

“Keputusan ini dibuat berdasarkan dapatan siasatan SPRM yang dijalankan sejak September lalu mendapati tiada unsur jenayaah dalam pelaksanaan tender tersebut,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Sebagai langkah susulan, siasatan telah dijalankan Bahagian Penyiasatan Tatakelola SPRM yang menumpukan kepada aspek tadbir urus serta isu berkaitan tuntutan kewangan dalam kontrak antara YTL Comms dan KPM.

“Sehubungan itu, timbalan pendakwa raya telah mengarahkan SPRM menyerahkan laporan penuh hasil dapatan siasatan kepada KPM berserta syor-syor penambahbaikan.

“Antara langkah utama disyorkan ialah KPM kembali ke meja perundingan bersama YTL Communications untuk mengenal pasti dan menyelesaikan sebarang isu berbangkit daripada kontrak tender perkhidmatan telah dipersetujui,” katanya lagi

1BestariNet dimulakan pada 2011 ketika Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Tan Sri Mahiaddin Md Yassin menjadi menteri pendidikan

Pada 4 September, SPRM telah memulakan siasatan ke atas tuntutan bayaran bagi tender perkhidmatan 1BestariNet KPM bernilai RM4 bilion yang dianugerahkan kepada YTL Comms pada 2011.

BACA JUGA Warga asing monopoli perniagaan, JK Dewan Negara desak percepat akta Anti Ali Baba

Â