Tabung Kecemasan Kesihatan celikkan rakyat lebih fahami apa itu Madani
Oleh NORMAN RADZUAN
Sebenarnya tiada isu pun tentang kenaikan kos haji. Sejak beberapa tahun kebelakangan ini, kos menunaikan haji telah meningkat secara berterusan, iaitu RM10,980 pada 2022 dan RM12,356 pada 2024.
Pembangkang ketika itu (Pakatan Harapan) pun tidak memainkan isu ini kerana memahami keadaan semasa. Isu kenaikan kos ini bukan sebab negara atau kerajaan kita tetapi kerana kos yang ditetapkan oleh Kerajaan Arab Saudi meningkat.
Tapi cuba anda bayangkan jika Menteri Agama hari ini berkata, “Allah tiada memaksa jika kita tak mampu” seperti diucapkan Menteri Agama Pas, Idris… pasti orang Melayu pembangkang kata tunjuk telunjuk DAP.
Cuma ada sedikit kelemahan di pihak kerajaan cara penerangannya tidak berapa bijak. Sepatutnya dimulakan dengan orang Melayu ini kena permudahkan pemahaman mereka.
1) Kos haji meningkat kerana susulan peningkatan kos penginapan, penerbangan dan caj perkhidmatan di Tanah Suci yang diperkenalkan oleh Kerajaan Arab Saudi.
2) Bukan Malaysia sahaja terkesan lebih tetapi juga negara-negara jiran seperti Singapura, Indonesia, Thailand dan Brunei.
3) Bagaimanapun subsidi kerajaan terus dikekalkan untuk mengelakkan kenaikan yang ketara.
4) Malaysia adalah negara terbaik menguruskan jemaah haji di rantau ini dengan kemudahan penginapan dan pengurusan jemaah.
Penerangan dengan orang Melayu tidak boleh dihujahkan terlalu teknikal atau tergantung. Faham-faham sahajalah, jika tidak takkanlah mereka mudah tertipu dengan ‘lebai’.
Yayasan Kesihatan & Haji
Namun, saya berpandangan dalam belanjawan akan datang untuk kerajaan peruntukkan ‘subsidi’ atau bantuan kesihatan dan haji diperkenalkan.
Sebagai contoh untuk khidmat kesihatan, kerajaan peruntukkan RM10 juta setahun untuk TABUNG KECEMASAN KESIHATAN di mana jika berlaku kecemasan yang memerlukan kadar segera boleh menggunakan dana tersebut.
Kadang-kadang saya rasa macam tidak kena, sejak puluhan tahun dahulu rakyat terpaksa meminta bantuan dari orang ramai untuk pembedahan yang menelan belanja puluhan hingga ratusan ribu ringgit.
Anda masih ingat lagi pasangan kembar siam Ahmad dan Muhammad Rosli yang menjalani pembedahan yang menelan belanja RM 1 juta yang ditanggung Raja Salman?
Pembedahan dilakukan di Hospital King Fahd National Guard, Arab Saudi pada September 2002. Ketika itu saya berasa malu hanya kos RM 1 juta kita terpaksa meminta pemerintah luar untuk menanggung kos pembedahan tersebut?
Malu orang melihat kita ada bangunan tertinggi di dunia ketika itu (KLCC) tapi sejuta ringgit pun minta bantuan pemimpin luar negara. Padahal, ketika itu anak Mahathir sudah ada bisnes bernilai bilion ringgit.
Jika ada dana khas boleh diambil TABUNG KECEMASAN KESIHATAN tersebut. Tidaklah golongan B40 dilihat seperti pengemis.
Begitu juga kita perkenalkan TABUNG HAJI B40. Di mana setiap tahun 100 insan terpilih dari golongan B40 untuk ditanggung 100% kos haji mereka. Percayalah ramai golongan B40 di luar sangat teringin untuk menjejakkan kaki ke kota Mekah.
Atau seperti negara Brunei sejak tahun 1992 lagi ditubuhkan Yayasan Sultan Haji Hassanal Bolkiah. Yayasan itu ditubuhkan berasaskan pada lima tujuan iaitu Agama, Kebajikan, Pendidikan, Pembangunan dan Kewangan.
Bantuan dari syarikat-syarikat swasta di Brunei dialu-alukan walaupun Brunei sebuah negara yang kaya raya. Mengapa tidak kita melakukan perkara yang serupa?
Daripada ditipu oleh para scammer dari NGO di luar sana, adalah baik mereka yang berkemampuan salurkan ke yayasan yang diuruskan oleh pihak dilantik oleh kerajaan.
Di Malaysia, kita ada puluhan ribu syarikat swasta. Jika kita boleh mengumpulkan puluhan juta dalam masa sejam untuk membantu mangsa banjir, mengapa kita tidak boleh kumpulkan dana ini tanpa menganggu wang kerajaan yang masih kritikal itu.
Kerajaan berikan alternatif yang lebih baik dalam soal kebajikan. Saya yakin jika ia dilaksanakan orang Melayu akan lebih memahami apa itu Madani.
BACA JUGA MB Terengganu sekali lagi tunjuk teladan tidak baik selepas episod New Zealand