Pengecualian tol untuk rakyat Malaysia Isnin depan

Kerajaan mengumumkan pengecualian tol di semua lebuh raya buat rakyat Malaysia mulai Isnin hadapan sempena perayaan Krismas.

Pengecualian itu akan bermula jam 12.01 tengah malam 23 Disember 2024 (Isnin) dan akan berakhir pada jam 11.59 malam, 24 Disember 2024 (Selasa).

Menteri Kerja Raya, Datuk Alexander Nanta Linggi berkata Kerajaan MADANI telah bersetuju untuk memberikan tol percuma kepada kenderaan Kelas 1 sahaja kecuali di plaza tol di sempadan negara iaitu Tol Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Plaza Tol Tanjung Kupang, Johor Darul Takzim.

Dengan pengecualian ini, kerajaan menanggung implikasi kewangan dianggarkan berjumlah RM 38 juta bagi membayar balik kepada syarikat konsesi tol terbabit.

“Pengecualian tol ini diharapkan dapat memberi peluang kepada seluruh rakyat Malaysia MADANI yang berbilang kaum, budaya dan agama untuk sama-sama memeriahkan sambutan Hari Krismas 2024 terutama kepada yang beragama Kristian,” katanya dalam kenyataan.

Semua pengguna lebuh raya diharapkan dapat memanfaatkan pemberian pengecualian tol ini dengan sebaiknya dan merancang perjalanan dengan sewajarnya untuk mengelakkan kesesakan lalu-lintas semasa musim cuti.

Pengguna juga dinasihatkan mematuhi cadangan jadual waktu perjalanan atau travel time advisory (TTA) yang disyorkan untuk meningkatkan aspek keselamatan dalam pengalaman pemanduan supaya semua pengguna lebuh raya dapat sampai ke destinasi dengan selamat bagi memaknai pengertian sambutan perayaan kali ini.

BACA JUGA Fahmi Fadzil tinggalkan emoji pada gambar Fahmi Reza

Â