Pas kalau siuman akan guna RM825,000 bantu mangsa banjir di Terengganu, Kelantan

Tindakan Pas mengutip ‘derma jihad’ selepas Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad kalah saman fitnah sehingga diperintah membayar ganti rugi sebanyak RM825,000 kepada pemimpin DAP terus mengundang kecaman orang ramai.

Rata-rata berpendapat kerahan ‘derma jihad’ kepada semua peringkat Pas dari pusat sehingga ke cawangan bukti sikap parti pembangkang itu yang menghalalkan fitnah.

Antaranya pengguna X, Syed Akramin yang menyifatkan kutipan wang sebanyak itu sebenarnya lebih memberi manfaat kepada ribuan mangsa banjir di Terengganu dan Kelantan.

“Kalau Pas siuman, mereka akan gunakan RM825,000 untuk bantu penduduk Terengganu dan Kelantan yang teruk dilanda banjir. Jika satu keluarga dapat RM800, boleh bantu 1,000 keluarga.

“Tapi Pas pilih untuk dermakan kepada Mastura. Makin seronok Mastura untuk tabur fitnah selepas ini,” tulisnya yang dipersetujui ribuan warganet.

Selain itu, ada juga menyifatkan Pas yang tidak sehaluan dengan Bersatu dalam blok Perikatan Nasional (PN) itu kini dalam keadaan sangat terdesak ekoran keputusan mahkamah dalam kes Siti Mastura.

Bagi pengguna X @enversavien, hasil kutipan ‘derma jihad’ itu demi kelangsungan kerusi Pas di Parlimen.

“Mereka tak mahu kehilangan kerusi disebabkan isu saman yang menyebabkan penyandang bankrap dan hilang kelayakan MP,” tulisnya.

Semalam, Setiausaha Agung Pas, Datuk Seri Takiyuddin Hassan dalam surat rayuan ‘derma jihad’ turut menyebut tentang kegagalan menyelesaikan tuntutan sebanyak RM825,000 itu kepada tiga pimpinan utama DAP terbabit boleh menyebabkan prosiding kebankrapan.

“… kesannya boleh menyebabkan Ahli Parlimen Kepala Batas hilang kelayakan dan kerusinya akan dikosongkan untuk suatu Pilihan Raya Kecil,” kata Takiyuddin.

BACA JUGA Beri sumbangan tanda reda dosa fitnah