Kerana merokok, Selangor batalkan penglibatan Gus Azmi di festival selawat

Akibat terkenal dengan tabiat biadab merokok di atas pentas, Selangor membatalkan penglibatan pendakwah dari Indonesia, Mohammad Ulul Azmi Askandar atau lebih dikenali Gus Azmi.

Sekretariat Festival Darul Ehsan Berselawat membuat ketetapan meneruskan festival itu tanpa kehadiran Gus Azmi selepas pertimbangan lanjut mengenainya dibuat.

“Segala keprihatinan pendukung Festival Darul Ehsan Berselawat adalah keutamaan kami.

“Sokongan daripada anda semua amatlah kami hargai dan jumpa di sana pada 27, 28 dan 29 Disember nanti,” menurut kenyataan itu.

Terdahulu, orang ramai meluahkan rasa tidak puas hati dengan jemputan Gus Azmi di Festival Darul Ehsan Berselawat yang dijadualkan akan berlangsung di Setia City Park, Oval Lawn dekat Persiaran Setia Dagang, Alam Nusantara, Shah Alam, Selangor.

Acara bermula jam 4 petang hingga 12 malam itu akan turut dihadiri Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

Program menjelang akhir tahun ini juga mengundang Habib Najmuddin Al-Khered dan Habib Ali Zainal Abidin Assegaf untuk sesi tausiyah.

Penglibatan Gus Azmi di pentas selawat yang umum dikenali selamba merokok itu dibimbangi akan memberi pengaruh buruk kepada masyarakat terutamanya anak muda.

Malah, Malaysia telah memfatwakan amalan merokok sebagai haram sejak 1995 manakala rokok elektronik dan vape difatwakan haram di negara ini sejak 2015.

Mengulas lanjut, sekretariat penganjur menjelaskan, pihaknya komited untuk mematuhi Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) seperti yang telah dikuatkuasakan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) berkaitan dengan larangan merokok di tempat awam.

“Kami juga akan memastikan agar semua pihak yang terlibat untuk mematuhi akta ini demi kesejahteraan dan keselamatan semua pengunjung yang hadir.

“Kami percaya bahawa sokongan dan kerjasama anda adalah nadi penting kepada kejayaan acara ini,” kata sekretariat itu lagi.

Untuk rekod, Gus Azmi atau nama sebenarnya, Muhammad Ulul Azmi Askandar Al Abshor, 20, dikenali di Indonesia sejak aktif sebagai vokalis dalam kumpulan doa Syubbanul Muslimin di bawah bimbingan Pondok Pesantren Nurul Qodim Kalikajar, Paiton, Probolinggo, Jawa Timur sejak 2017.

BACA JUGA Heboh Pemuda Pas ‘kantoi’ ucap Selamat Hari Krismas, netizen sempat ‘screenshot’

Â