Hannah Yeoh nafi dakwaan mahu jadikan Malaysia negara Kristian, bakal lapor polis

Ahli Parlimen Segambut, Hannah Yeoh menyangkal dan menafikan dakwaan kononnya beliau berhasrat untuk memurtadkan orang Islam dan menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

Yeoh berkata, terdapat banyak mesej dan video WhatsApp yang tersebar di luar sana, mempolitikkan keputusan mahkamah kelmarin yang menolak saman fitnah beliau terhadap bekas ketua polis negara, Tan Sri Musa Hassan.

Beliau menegaskan pihaknya akan membuat laporan polis terhadap video-video berniat jahat yang boleh menjejaskan rayuannya di Mahkamah Rayuan.

Hannah Yeoh memberitahu ketika ini peguamnya sudah pun memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak saman fitnahnya terhadap Musa Hassan.

“Saya difahamkan bahawa terdapat banyak mesej-mesej dan video-video Whatsapp yang bertebaran di luar sana yang telah mempolitikkan keputusan ini dan memberi gambaran bahawa saya berhasrat untuk memurtadkan orang Muslim dan/atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian. Ini tidak benar sama sekali.

“Semua pihak harus menghormati proses kehakiman dan memastikan bahawa mereka tidak melakukan apa-apa yang melanggar undang-undang mahupun menjejaskan hak saya di hadapan mahkamah.

“Laporan polis akan dibuat terhadap video-video/mesej-mesej berniat jahat yang mampu menjejaskan rayuan saya.

“Sepertimana yang telah berlaku berkali-kali dalam kerjaya politik saya, kepercayaan saya sekali lagi dijadikan senjata politik oleh pelampau-pelampau agama di luar sana,” katanya dalam satu kenyataan sebentar tadi.

Mengenai saman fitnah yang ditolak Mahkamah Tinggi, Yeoh memberitahu bahawa setakat ini belum ada alasan penghakiman bertulis penuh yang dikemukakan oleh mahkamah.

Setakat ini, hanya terdapat alasan ringkas yang disenaraikan secara bertulis melalui sistem e-review mahkamah pada 23 Disember 2024.

“Oleh itu, adalah tidak wajar pada peringkat ini untuk membuat apa-apa kesimpulan tentang apa yang telah diputuskan oleh Mahkamah Tinggi secara keseluruhannya berserta alasan-alasannya,” katanya lagi.

BACA JUGA Annuar Musa mengata siapa tu?

Â