Kerajaan akan tuntut balik nilai kerugian daripada penyeludup bekalan subsidi
Bermula tahun depan individu yang didapati bersalah menyeludup bekalan subsidi negara akan dituntut untuk mengganti balik nilai kerugian ditanggung kerajaan.
Untuk rekod, rampasan petrol RON95 sepanjang tahun ini dalam operasi Ops Tiris 3.0 mencatatkan angka tertinggi dengan 933 kes.
Ia diikuti diesel sebanyak 734 kes, minyak masak (472 kes), gula (241 kes), LPG (197 kes) dan tepung gandum (99 kes).
Ketua Pengarah Penguat Kuasa KPDN, Datuk Azman Adam berkata, pesalah selepas ini bukan sahaja dikenakan hukuman gantung lesen, bahkan perlu membayar balik nilai bekalan subsidi yang telah diselewengkan.
Menurut Berita Harian, langkah itu adalah antara cadangan penambahbaikan bagi memperkasakan Ops Tiris yang dipersetujui dalam mesyuarat dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Fadillah Yusof, baru-baru ini.
“Antara tumpuan penguatkuasaan kita tahun hadapan ialah hukuman lebih tegas dan keras.
“Sebagai contoh, mereka yang terbabit dalam penyelewengan akan digantung lesen dan kami akan batalkan lesen (mereka).
“Kedua, kemungkinan besar kes membabitkan ‘recovery’ (tuntutan) balik contohnya kerugian dialami kerajaan, kita ada agensi seperti pihak LHDN, SPRM dan NFCC, kita akan bekerjasama mendapatkan kembali (nilai kerugian itu).
“Kita akan ambil tindakan untuk mendapatkan balik (nilai) kerugian terbabit daripada pihak menyeleweng,” katanya menurut BH.
Azman berkata, langkah terbaru ini mampu menyelamatkan wang negara daripada ketirisan dan boleh membantu menambah baik fiskal kerajaan.
“Kita bukan menghalang subsidi dan kita tidak pernah menghentikan subsidi, tetapi subsidi ini disasarkan kepada golongan yang betul-betul layak dan memerlukan.
“Penjimatan daripada penyelewengan boleh diperuntukkan untuk program yang memanfaatkan rakyat,” katanya.
BACA JUGA Annuar Musa mengata siapa tu?
Â