DAP anggap pemimpin Pas tak hormati hak rakyat berbilang kaum, agama
Sekumpulan pemimpin DAP menyifatkan rata-rata kepimpinan Pas tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama.
Menerusi kenyataan bersama tiga Ahli Jawatankuasa Tertinggi Pusat (CEC) DAP hari ini, mereka menyelar tindakan beberapa pemimpin Pas yang mempolitikkan majlis Sambutan Hari Natal di Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
“Kenyataan tersebut bercanggah dengan kenyataan Setiausaha Agung Pas Datuk Seri Takiyuddin Hassan yang menyambut baik perayaan Hari Natal atas “…kesan positifnya ke arah pembinaan masyarakat Malaysia yang lebih berkualiti atau bermoral bersandarkan nilai keagamaan luhur serta suci.”
“Percanggahan ini menunjukkan bahawa walaupun terdapat percubaan untuk memberi gambaran bahawa ianya parti yang inklusif, namun sebenarnya rata-rata kepimpinan PAS tidak menghormati hak rakyat Malaysia yang berbilang kaum dan agama,” menurut kenyataan itu.
Kenyataan bersama oleh Sheikh Umar Bagharib Ali, Young Syefura Othman dan Syahredzan Johan itu menegaskan bahawa semua peserta yang terlibat dengan persembahan di KPKT itu adalah mereka yang menyambut Hari Natal, terutama dari Sabah dan Sarawak, dan tiada yang dipaksa untuk menghadiri majlis tersebut.
“Pas sepatutnya mempertahankan dan mendukung hak dan kepentingan semua kaum seperti yang termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan dan bukannya memecahbelahkan masyarakat dengan politik sempit,” kata mereka.
Terdahulu, Pas antara lain menganggap tindakan KPKT yang secara terbuka menganjurkan perayaan agama Kristian di premis kerajaan sebagai melanggar batas-batas akidah umat Islam serta bertentangan dengan prinsip sensitiviti agama di negara ini.
Ketua Penerangan Dewan Pemuda Pas, Khairul Nadzir Helmi Azhar menerusi kenyataannya berkata, penganjuran sambutan Krismas di premis KPKT itu menunjukkan kealpaan dalam memahami prinsip-prinsip asas keharmonian agama yang seharusnya dihormati.
Mengulas lanjut, ketiga-tiga pemimpin Melayu DAP terbabit menggesa Pas untuk membawa semangat Malaysia dalam politik tanah air dan meninggalkan politik ekstrem yang tidak meraikan perpaduan dalam kepelbagaian di negara kita memandangkan kepelbagaian itulah yang menjadi tonggak kekuatan negara ini.
“Pas sepatutnya menghayati semangat “li ta’arafu” sepertimana dalam surah Al-Hujurat ayat 13 yang bermaksud “Hai manusia, sesungguhnya Kami menciptakan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan, dan menjadikan kamu berbangsa-bangsa, bersuku kaum supaya kamu saling kenal-mengenal (li ta’arafu)…”
“Pas perlu menekuni “fiqh ta’ayush” yang menekankan konsep ‘hidup bersama’ serta ‘interaksi sosial’ antara manusia dari pelbagai latar belakang, agama dan budaya.
“Kepelbagaian etnik, ras, serta suku kaum merupakan ‘sunnatullah’ sepertimana di Malaysia ini.
“Kepelbagaian tersebut perlu dirai, difahami dan saling dihormati bukan untuk dimanipulasi demi kepentingan politik atas nama agama,” tegas ketiga-tiga pemimpin DAP itu lagi.
BACA JUGA Duda jadi pesalah khalwat pertama kena hukuman sebatan di dewan masjid hari ini