Duda jadi pesalah khalwat pertama kena hukuman sebatan di dewan masjid hari ini
Selepas solat Jumaat hari ini, seorang duda anak lima bakal mencipta rekod menjadi lelaki pertama di Terengganu yang akan dikenakan hukuman enam sebatan di dewan masjid.
Pelaksanaan hukuman sebat ke atas Mohd. Affendi Awang, 42, akan dilaksanakan di Masjid Al-Muktafi Billah Shah di Kuala Terengganu.
Hukuman enam sebatan yang akan dilaksanakan di Dewan ‘Aasim di masjid itu turut melibatkan Jabatan Kehakiman Syariah Terengganu.
Seramai 70 individu dibenarkan menyaksikan hukuman itu, termasuk media luar negara.
Terdahulu, media melaporkan seorang duda menjadi lelaki pertama di Terengganu yang akan dikenakan hukuman enam sebatan di khalayak ramai oleh Mahkamah Tinggi Syariah Kuala Terengganu, kerana melalukann kesalahan khalwat kali ketiga.
Mohd. Affendi mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 31 (a) Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 kerana berkhalwat.
Dia juga menjadi pesalah khalwat pertama dikenakan empat sebatan secara tertutup di dalam penjara dan denda RM3,000 oleh Mahkamah Tinggi Syariah Terengganu mengikut enakmen berkenaan pada 19 Februari lalu.
Sebelum itu, lelaki sama pernah didenda RM2,700 atau tiga bulan penjara selepas mengaku salah bagi pertuduhan khalwat di Mahkamah Rendah Syariah Daerah Kemaman pada 11 Julai 2023.
Mengikut Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022, kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya boleh dikenakan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara yang berkuat kuasa pada 1 Januari lalu.
BACA JUGA Kerana merokok, Selangor batalkan penglibatan Gus Azmi di festival selawat