PMX jumpa sahabat baik, ini topik perbincangan dengan Thaksin

Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan perbincangan panjang lebar dengan sahabat baik beliau, Dr Thaksin Shinawatra termasuk peranan bekas Perdana Menteri Thailand itu sebagai penasihat tidak rasmi kepada Pengerusi ASEAN.

Perdana Menteri berkata, perbincangan mereka semalam seputar beberapa isu kritikal serantau, merangkumi usaha melonjak ekonomi, perkembangan teknologi baharu, merintis usaha damai di Selatan Thailand dan merungkai krisis di Myanmar.

“Kepakaran dan jaringan perhubungan meluas yang dimiliki di rantau ini, membolehkan beliau memainkan peranan dan membuka peluang-peluang penting buat Malaysia dan ASEAN bagi berdepan cabaran-cabaran ini dengan penuh yakin dan berkesan.

“Saya dan Thaksin turut bertukar pandangan terkait usaha memperkukuh hubungan persahabatan Malaysia-Thailand dan selaras visi dan persefahaman seperti mana yang saya kongsikan bersama-sama PM Paetongtarn Shinawatra.

“Kami berkongsi kepercayaan yang sama sejak puluhan tahun lalu, bahawa Malaysia dan Thailand berupaya mencipta pelbagai kejayaan bersama untuk kedua-dua negara dan rantau ini.

“Insya-Allah, saya dan Thaksin komited untuk merealisasikan hasrat ini,” kata Anwar menerusi hantaran di Facebook sebentar tadi.

Thailand berada di kedudukan keenam terbesar di dunia sebagai rakan dagang utama bagi Malaysia dan kedua terbesar dalam ASEAN pada 2023.

Jumlah dagangan antara kedua-dua negara mencecah US$20.75 bilion (RM95.50 bilion) berbanding US$20.69 bilion (RM94.37 bilion) pada tempoh yang sama tahun lalu.

BACA JUGA DAP anggap pemimpin Pas tak hormati hak rakyat berbilang kaum, agama

Â