Bantah pelaksanaan sebat di khalayak ramai bukan bererti bantah ajaran Islam – Mufti Perlis
Bantahan terhadap pelaksanaan hukuman sebat di khalayak ramai bukan bermakna seseorang membantah ajaran Islam, kata Mufti Perlis Datuk Mohd Asri Zainul Abidin.
Mengulas perkara ini berdasarkan kes pesalah khalwat yang disebat semalam di Kuala Terengganu beliau berkata tiada penetapan syarak yang menyuruh pesalah disebat di khalayak ramai.
“Adapun khalwat, tiada penetapan syarak menyuruh mereka disebat di khalayak ramai.
“Bahkan, menyebat kes seperti itu di khalayak ramai dibimbangi bercanggahan dengan kehendak syarak yang menyuruh menutup keaiban peribadi individu.
“Menyebat kesalahan khalwat di khalayak ramai bukan hukum Allah dan Rasul, ia hanyalah pilihan penguasa semata,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya hari ini.
Mohd Affendi Awang, 42, yang mengaku bersalah berkhalwat buat kali ketiga itu, sebagai individu pertama di Terengganu disebat di khalayak ramai.
Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) Pindaan 2022 yang berkuat kuasa 1 Januari lalu,memperuntukkan hukuman sebatan sehingga enam kali, denda sehingga RM5,000 atau tiga tahun penjara untuk kesalahan khalwat bagi kali kedua dan seterusnya.
Mengulas lanjut, Asri berkata meskipun hukuman sebat terdapat dalam al-Quran, terdapat syarat dan peraturan ketat yang wajib dipatuhi.
Umpamanya kes perlu disaksikan oleh empat saksi yang mempunyai perlakuan baik.
“Adapun penuduh orang lain zina tanpa bukti yang ditetapkan syarak, lebih mudah untuk disebat di khalayak ramai dibandingkan penzina sendiri.
“Jelas, Islam anti mulut celupar dan (tidak) suka menjadikan dosa peribadi antara hamba dengan Allah semata sebagai bahan masyarakat.
“Pemerintah pula dituntut oleh Islam agar menutup ruang dosa peribadi daripada dijadikan bahan mainan rakyat. Banyak nas Islam dalam hal itu jika hendak dibahaskan,” katanya.
Â