Kalah saman fitnah, ujian dan cabaran buat Siti Mastura tanpa rasa bersalah
Ahli Parlimen Kepala Batas, Siti Mastura Muhammad menyifatkan kekalahannya dalam kes fitnah terhadap pimpinan DAP sebagai ujian dan cabaran tanpa sebarang rasa bersalah.
“Apa yang telah berlaku, telah berlaku. Jangan rasa sedih, malu. Saya yakin apa yang telah berlaku ada hikmah, ada muhasabah yang akan saya ambil sebagai panduan untuk terus melakukan kerja Islam kita.
“Siapa pun kita, pasti ada ujian dan cabaran.
“Apa yang berlaku di akhir zaman globalisasi ini ialah yang baik dikatakan buruk, yang buruk dikatakan baik. Yang hak dikatakan batil. Yang batil dikatakan hak.
“Maka itulah perkara yang kita perlu sama-sama bangkit cakap benar walaupun ramai netizen di luar sana cakap perkara-perkara buruk, caci maki.”
Beliau berkata demikian dalam satu sesi hi-tea oleh Pas Kawasan Bukit Mertajam pada 25 Disember.
Untuk rekod, Siti Mastura diperintahkan membayar RM825,000 kepada veteran DAP Tan Sri Lim Kit Siang, pengerusi DAP kebangsaan Lim Guan Eng dan naib pengerusi DAP Teresa Kok selepas didapati memfitnah mereka bertiga.
Siti Mastura mendakwa mereka bertiga mempunyai nasab dengan pemimpin Parti Komunis Malaya, Chin Peng.
Beliau membuat dakwaan itu semasa berkempen di dalam pilihan raya kecil Kemaman.
BACA JUGA: Hadi pertahan kempen derma jihad