Selepas Terengganu, Kelantan teringin ikut langkah sebatan syariah

Exco Pembangunan Islam, Dakwah, Penerangan dan Hubungan Serantau Kelantan, Mohd Asri Mat Daud tidak menolak kemungkinan negeri Cik Siti Wan Kembang akan turut sama mengikut langkah negeri jiran dalam melaksanakan hukuman sebatan syariah.

Ini kerana Enakmen Tatacara Jenayah Syariah 2002 yang dipinda pada 2017 membolehkan hukuman tersebut dilaksanakan di khalayak ramai.

“Insya Allah akan diusahakan juga di Kelantan apabila mempunyai SOP (prosedur operasi standard) secara terbaik,” katanya menurut Berita Harian.

Asri menyifatkan hukuman sebatan syariah di masjid yang dilaksanakan kerajaan Terengganu semalam terhadap pesalah khalwat berulang ialah langkah mendidik masyarakat lebih serius dan berkesan.

Mohd Affendi Awang, 42, individu pertama di Terengganu yang disebat di khalayak ramai. Dia disebat enam kali di depan 90 saksi.

“Kelantan merakamkan ucapan tahniah kepada Terengganu atas pelaksanaan hukuman yang mendidik masyarakat dengan lebih berkesan dan selaras piawaian hukuman berteras syariah.

“Semua pihak tidak perlu membuat sebarang naratif mengelirukan, termasuk mempolitikkan kaedah syariah yang mengikuti SOP. Malah, semua pihak perlu memberi sepenuh kepercayaan kepada kerajaan Terengganu untuk melaksanakannya.”

Terengganu telah menyebat Mohd Affendi Awang semalam.