Hadi Awang pergi mahkamah pun tak ada himpunan untuk beliau…

Sejak kelmarin tular di media sosial satu memo dari Pas yang menyeru ahlinya mengadakan himpunan ‘Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan’ pada 6 Januari tahun depan.

Pengerusi Muafakat Nasional, Tan Sri Annuar Musa seolah mengesahkan khabar itu apabila dalam sidang medianya semalam turut menyeru orang ramai bersolidariti pada tarikh itu.

Susulan itu, Ketua Penerangan Pakatan Harapan Selangor Abbas Azmi mengkritik tindakan tersebut, menyifatkan Pas yang mahu mengadakan himpunan untuk ‘bossku’ sebagai terdesak.

Beliau berkata ketika Tan Sri Abdul Hadi Awang ke mahkamah, tiada pula himpunan dibuat untuk Presiden Pas itu.

“Terdesaknya Pas sehingga nak buat himpunan untuk Bossku. Haji Hadi pergi mahkamah pun tak ada himpunan untuk Presiden Pas.

“Janganlah tunjuk sangat terdesak tu , malu lah sikit kat orang,” katanya di Facebook.

Terdahulu berdasarkan ‘Memo Setiausaha Agung’ atas nama Datuk Seri Takiyuddin Hassan, himpunan didakwa akan diadakan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya.

Menurut memo berkenaan, antara agenda yang akan dilaksanakan adalah solat hajat beramai-ramai dan meminta orang ramai yang hadir untuk berwuduk terlebih dahulu.

“Sila pastikan kehadiran ahli-ahli kita demi menunjukkan suatu isyarat nyata kepada kerajaan Madani pimpinan PMX tentang keluhuran perlembagaan an kedaulatan undang-undang yang dituntut rakyat,” kata memo tersebut.

Sebagai rekod, bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak kini sedang menjalani hukuman penjara enam tahun sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC International Sdn Bhd memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.

BACA JUGA Kalah saman fitnah, ujian dan cabaran buat Siti Mastura tanpa rasa bersalah