Seolah pertikai kuasa Agong, Adam Adli saran Akmal tarik balik kenyataan
Ketua Pemuda UMNO, Akmal Saleh dinasihatkan untuk menarik semula kenyataan beliau yang mempertikai pengampunan diraja untuk Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Ketua AMK Malaysia, Adam Adli berkata, jika tidak berhati-hati, kenyataan tersebut bukan lagi sekadar serangan politik, tetapi boleh dianggap sebagai tindakan yang tidak menghormati institusi Raja dan undang-undang tertinggi negara.
“Saya berpandangan, wajar bagi Akmal Saleh untuk menarik semula kenyataan beliau.
“Jangan kita pertikaikan bidang kuasa pengampunan Yang di-Pertuan Agong (waktu itu) sehingga mencalarkan pandangan terhadap keluhuran institusi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Adam Adli berkata, selain merujuk terlebih dahulu fakta mudah yang boleh diakses menerusi carian Google, beliau juga perlu memahami kuasa dan proses pengampunan oleh Yang di-Pertuan Agong seperti diperuntukkan oleh Perlembagaan Persekutuan.
Ujarnya, fakta asas dan penting yang perlu Akmal ketahui adalah pengampunan Anwar pada 2018 telah pun melalui proses wajar termasuk pembentangan dan pertimbangan oleh Lembaga Pengampunan selaras Perkara 42 Perlembagaan Persekutuan.
“Ini telah dilapor secara meluas oleh media ketika itu. Maka apa yang dipertikaikan oleh Akmal bukan sahaja meluru, malah memesongkan fakta yang diketahui umum.
“Andai tidak cukup, Mahkamah Rayuan pada 2021 juga pernah membatalkan sebuah saman yang mempertikaikan pengampunan diraja yang dikurniakan kepada Dato’ Seri Anwar Ibrahim.
“Hal ini telah diputuskan secara tuntas melalui keputusan mahkamah, sewaktu Anwar dan Harapan berada di blok pembangkang,” tambahnya lagi.
Timbalan Menteri Belia dan Sukan itu menegaskan, pengurniaan pengampunan bukan keputusan yang dibuat sewenang-wenangnya mengikut desakan politik, tetapi dilindungi mekanisme yang telah ditetapkan undang-undang dan Perlembagaan.
“Kami di Harapan ketika itu menuruti proses ini dengan cermat dan hemah atas dasar memperakui keluhuran perlembagaan kita.
“Datuk Seri Najib Razak didakwa dan disabitkan kesalahan pada zaman Tun Dr. Mahathir; dijatuhkan hukuman penjara pula pada 2022 semasa zaman Dato’ Sri Ismail Sabri; semuanya melalui proses undang-undang yang tidak dipertikaikan, namun yang terus diserang adalah pentadbiran Anwar,” katanya.
BACA JUGA Bukti untuk Akmal Saleh, Anwar diampun melalui Lembaga Pengampunan
Â