Seruan sebatan syariah di semua negeri PN, adakah begitu mudah?
OLEH SENATOR DATUK SERI DR MUJAHID YUSOF RAWA
Semua pihak dikehendaki menghormati kuasa yang ada pada negeri Terengganu sebagaimana yang diperuntukkan dalam Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) Terengganu dalam seksyen 31 (pindaan 2022).
OKT juga didapati mengulangi jenayah syariah yang sama sebanyak 3 kali. Hakim hanya menggunakan peruntukan yang ada untuk menjatuhkan hukuman enam kali sebatan.
Soal samada sebatan boleh dilakukan secara khalayak ramai atau terbuka adalah sesuatu yang disenyapkan dalam peruntukan enakmen.
Lacuna ini digunakan oleh Hakim dalam membuat keputusan sebatan secara hukum syarak merujuk kepada Sks 230(2) Syariah Criminal Procedure (Terengganu) (2001).
Salah satu perlaksanaan sebatan hukum syarak ialah dengan melakukannya di hadapan sekumpulan orang-orang yang beriman.
Perlu ditegaskan dalam kes pesalah iaitu Afendi Awang 42 tahun dia didapati bersalah atas perbuatan khalwat dan bukan zina.
Ayat al Quran dalam surah Al Nur yang mewajibkan hukuman hudud dengan 100 sebatan adalah atas kesalahan zina yang telah disabitkan dan hukuman tersebut hendaklah disaksikan sekumpulan orang-orang yang beriman (Al Nur :2). Perlaksanaan hukuman bukan dari kategori hudud tetapi Takzir.
Pendapat fiqah dalam sabit kesalahan zina yang tahap pertuduhannya ketat dan tinggi tidak boleh disamakan dengan kesalahan khalwat yang merupakan hukuman langkah pencegahan.
Oleh itu sama ada isu sebatan secara penyaksian ramai-ramai di Terengganu boleh dijadikan kes awalan perlu dicermati dengan mengambil kira kaedah-kaedah dan disiplin perundangan dan perlu diteliti dengan mengambil kira panduan Maqasid Syariah yang lebih utama.
Sehubungan itu, kenyataan Murshidul Am Pas Datuk Hashim Jasin yang menyeru sebatan terbuka diikuti oleh kerajaan negeri di bawah pemerintahan Pas adalah kenyataan yang lari dari semangat falsafah hukuman dalam Islam.
Beliau seolah melihat hukuman sebat terbuka itu boleh dibuat sesuka hati tanpa merujuk kepada falsafah dan tujuan hukuman dalam Syariat Islam.
Selain itu apakah beliau menganggap kerajaan negeri di bawah Pas gagal mengawal fenomena khalwat sehingga memerlukan sebatan terbuka untuk memberi pengajaran?
Adakah Murshidul Am Pas itu menganggap usaha dakwah kerajaan negeri Pas selama ini gagal sehingga sebatan terbuka perlu dilakukan?
Pas melalui kenyataan Murshidul Amnya sekali lagi menjadikan isu ini sebagai bahan politik tanpa ambil kira berbagai pertimbangan syarak seolah hukuman sebat itu adalah segalanya dalam melaksanakan hukum jenayah syariah.
Mentaliti inilah yang melahirkan pentaksub Pas tidak dapat menerima pandangan lain yang melihat tidak semua kesalahan jenayah khalwat perlu disebat secara terbuka.
Apa yang diijtihadkan oleh Hakim Syariah di Terengganu kepada spesifik kes Afandi Awang adalah dari perkiraan tertentu yang perlu dihormati dan bebas dari perkiraan politik.
Seharusnya isu ini menjadi alasan untuk kita memperkukuhkan lagi peruntukan dalam Undang-undang Jenayah Syariah dengan memasukkan peruntukan hukuman bersifat rehabilatatif atau reform yang tiada dalam peruntukan Jenayah Syari’ah hari ini.
Hakim tiada pilihan untuk melaksanakan hukuman rehabilatatif melainkan denda sedangkan faktor lain seperti fenomena sosial langit terbuka, kemiskinan dan institusi keluarga yang juga merupakan faktor penyumbang kepada kesalahan jenayah syariah.
Institusi rehabilatatif perlu diperkasakan seperti bon berkelakuan baik, kerja komuniti ataupun mengikuti sesi kaunseling secara wajib sehingga diperbaiki akhlak dan keperibadian OKT menjadi seorang Muslim yang baik.
Selain konsep hukuman rehabilatatif, penyelarasan undang-undang jenayah syariah perlu juga diteruskan supaya keseragaman undang-undang berlaku di antara negeri-negeri bagi membuktikan keadilan Islam.
Sehingga kini ada antara negeri yang mengenakan hukuman berbeza-beza dari peruntukan kesalahan jenayah syariah yang sama.
Pengenalan konsep rehabilatatif dan penyelarasan undang-undang jenayah syariah antara negeri selain isu pentadbiran yang lain akan mengukuhkan lagi kedudukan undang-undang syariah di negara ini.
BACA JUGA Bukti untuk Akmal Saleh, Anwar diampun melalui Lembaga Pengampunan
Â