Peningkatan tertinggi peruntukan STR, SARA untuk tahun 2025 – PM Anwar

Kerajaan menambah RM3 bilion pada peruntukan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) pada tahun baharu 2025.

Menerusi Amanat Tahun Baharu sebentar tadi, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peruntukan STR dan SARA untuk 2025 membabitkan jumlah sebanyak RM13 bilion berbanding RM10 bilion merupakan peningkatan tertinggi.

“Pada tahun hadapan (2025), kerajaan berhasrat untuk menambah peruntukan STR dan SARA sebanyak RM3 bilion atau 30 peratus kepada RM13 bilion keseluruhannya.

“Selain menambah jumlah bantuan saban tahun, kerajaan juga giat menangani gejala fenomena kenaikan kos, kerana kos sara hidup ditangani melalui penganjuran Program Payung Rahmah di seluruh negara.

“Pasukan pemantau digerakkan dengan aktif untuk memerhati, memantau dan mengambil tindakan kepada mana-mana pihak yang mencatut harga dengan sewenang-wenangnya,” kata PMX.

Dalam masa sama, beliau turut memahami tidak semua keputusan dan kebijakan kerajaan bersifat popular atau membuahkan hasil.

“Namun, semua ini dilaksanakan dengan tekad politik yang jelas dan niat ikhlas dengan penelitian bagi memastikan dasar-dasar tersebut memberi manfaat kepada rakyat terbanyak,” kata beliau.

Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan memberikan contoh penyasaran subsidi diesel dan tarif elektrik.

Menurutnya, kedua-dua keputusan tersebut digerakkan oleh Kerajaan Madani untuk menutup ketirisan sekian lama dek subsidi pukal yang telah disalurkan kepada pihak yang paling kaya dan orang asing 3.5 juta orang yang tidak layak menerima subsidi.

Beliau juga berkata, keadaan ekonomi semasa harus ditangani dengan bijak kerana ia juga membabitkan apa yang belum diduga, yang berlaku separah ini, iaitu seperti musibah banjir di beberapa negeri mutakhir ini.

Sehubungan itu, jelas Anwar, kerajaan sudah memberi jaminan segala usaha akan terus dijalankan di semua negeri bagi memastikan bantuan segera tiba, sementara kerja pemulihan dan bantuan secepat mungkin dapat diselenggara semua agensi pusat dengan kerjasama kerajaan negeri dan pihak berkuasa tempatan atau jajahan.

“Operasi kesiapsiagaan sejak awal sudah dirangka secara mampan supaya dapat mengelak dari dampak yang buruk daripada musibah itu. Kita akan mampu mengharungi dan melindungi lebih banyak nyawa dari terkorban atau harta benda yang rosak.

“Mengenai perbelanjaan pembangunan negara, selain tumpuan diberi kepada prasarana asas seperti jalan raya, lebuh raya dan bekalan, adalah dengan meneruskan projek tebatan banjir di kawasan berisiko tinggi biarpun akan memberikan kesan dan dampak perbelanjaan tinggi,” kata Perdana Menteri lagi.

BACA JUGA Pelawak veteran ditahan di Jeddah kerana ‘sayur’, ini tak lawak

Â