13 dasar dan peraturan baharu dilaksana bermula hari ini, nombor 5 paling pembangkang ‘suka’

Terdapat 13 dasar dan peraturan baharu akan berkuat kuasa mulai hari ini yang wajib rakyat Malaysia tahu:

  1. Kenaikan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA)

Seramai 4.1 juta penerima STR kategori isi rumah akan menerima SARA sebanyak RM100 sebulan, berbanding 700,000 penerima tahun ini.

Bantuan SARA akan dikreditkan kepada penerima bermula April 2025 dan ia boleh dibelanjakan untuk membeli barangan asas seperti makanan dan minuman, ubat-ubatan, barang persekolahan serta kebersihan diri di lebih 600 pasar raya dan kedai runcit seluruh negara.

Kadar maksimum diterima isi rumah meningkat kepada RM4,600 berbanding RM3,700 susulan penambahan peruntukan RM3 bilion.

  1. ‘Perang’ terhadap gula

Kerajaan memulakan “perang terhadap gula” dalam usaha mengurangkan jumlah gula yang diambil oleh rakyat Malaysia bagi mencegah penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti diabetes dan obesiti.

Kadar duti eksais bagi minuman bergula dinaikkan secara berfasa mulai 1 Januari tahun depan.

Kadar yang dikenakan adalah 40 sen seliter sebagai usaha selepas Malaysia menjadi antara negara paling obesiti di rantau Asia Tenggara.

Tambahan hasil yang diraih melalui duti eksais itu akan dimanfaatkan untuk menampung perbelanjaan kesihatan awam antaranya penambahan bekalan ubat SGLT-2 inhibators bagi kegunaan rawatan diabetes.

  1. Penyasaran subsidi RON95

Penyasaran subsidi petrol RON95 pada pertengahan tahun ini dengan 85 peratus daripada kumpulan penerima subsidi bahan api terus menikmati manfaat apabila rasionalisasi subsidi RON95 dilaksanakan.

Selama ini menerusi sistem subsidi pukal, warga asing dan 15 peratus teratas pengguna mahakaya mengaut 40 peratus daripada subsidi petrol RON95 bernilai RM8 billion yang disalurkan kerajaan setiap tahun.

Dana RM8 bilion itu akan kerajaan manfaatkan kepada kemudahan pendidikan, kesihatan serta pengangkutan awam.

  1. Gaji minimum RM1,700

Kerajaan menaikkan kadar gaji minimum kepada RM1,700 sebulan daripada RM1,500 berkuat kuasa 1 Februari tahun ini bagi membolehkan rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa.

Namun, penangguhan kuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang lima pekerja bagi tempoh enam bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025.

Dasar Gaji Progresif mula dikuatkuasakan sepenuhnya tahun ini sebagai ikhtiar Kerajaan MADANI untuk mereformasi pasaran buruh dengan matlamat meningkatkan pendapatan pekerja.

  1. Tarif baharu elektrik

Tarif asas elektrik di Semenanjung Malaysia akan dinaikkan sebanyak 14.2 peratus kepada 45.62 sen setiap kilowatt-jam (kWh), bersama dengan jadual tarif baharu bermula Julai 2025.

Perubahan itu akan berlaku di bawah Tempoh Peraturan 4 (RP4) selama tiga tahun yang akan berkuat kuasa dari Januari 2025 hingga Disember 2027.

Bagi enam bulan pertama RP4 sehingga Jun 2025, tiada perubahan dalam kadar tarif elektrik dan struktur tarif.

Namun, pembangkang dilihat melatah malah mengecam kerajaan padahal kenaikan tarif elektrik hanya melibatkan golongan atasan atau mahakaya.

Tiada sebarang kenaikan tarif elektrik kepada 85 peratus pengguna domestik sehingga 30 Jun ini.

Bagi tempoh 1 Januari hingga 30 Jun 2025, pengguna domestik tidak akan terjejas kerana sebarang kenaikan harga atau impak akan ditampung kerajaan menerusi kaedah yang akan ditentukan antaranya termasuklah melalui Kumpulan Wang Industri Elektrik (KWIE).

  1. Media sosial wajib berlesen

Lesen Kelas Pemberi Perkhidmatan Aplikasi Penyedia (CASP) yang mewajibkan platform media sosial mendaftar lesen dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC).

Keperluan ini, di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) bertujuan meningkatkan keselamatan dalam talian, melindungi pengguna khususnya kanak-kanak dan golongan rentan serta memperkukuh kawal selia terhadap penyedia perkhidmatan pesanan internet dan media sosial.

  1. Denda maksimum RM5,000 bakal menanti perokok degil

Premis dobi dan bangunan tempat kerja tersenarai dalam kawasan larangan merokok susulan penguatkuasaan Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852) pada 1 Oktober lalu.

Ini menjadikan sebanyak 28 kawasan diwartakan sebagai tempat larangan merokok termasuk hospital, klinik, lif atau tandas awam, tempat makan, kedai berpenyaman udara, lapangan terbang, premis kerajaan, institusi pendidikan, kawasan taman asuhan kanak-kanak, kompleks beli-belah, stesen minyak, perpustakaan, stadium dan banyak lagi.

Perokok yang didapati bersalah termasuk menggunakan produk merokok di kawasan larangan disenaraikan akan dikenakan denda maksimum sebanyak RM5,000.

  1. Penjaja, peniaga berlesen wajib buat caruman KWSP

Penjaja dan peniaga berlesen wajib membuat caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bermula hari ini bagi menyediakan sokongan kewangan jika berlaku bencana kerja.

Langkah mandatori itu dilaksanakan menerusi Peraturan-Peraturan Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (Kadar Caruman Bagi Penjaja Atau Peniaga) 2024 yang diwartakan pada 30 Ogos melalui PU (A) 229 dan berkuat kuasa pada 1 September lalu.

  1. Taska wajib papar plak nombor pendaftaran

Semua taman asuhan kanak-kanak (taska) yang berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) diwajibkan untuk memaparkan plak nombor pendaftaran di premis masing-masing bermula hari ini.

Langkah tersebut bagi memberi keyakinan kepada ibu bapa terhadap status lesen taska terbabit.

  1. PLKN 3.0

Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 membabitkan peserta berusia antara 16 hingga 35 tahun akan dilaksanakan secara berperingkat bermula bulan ini.

Bagi fasa pertama, kerajaan menetapkan pembabitan peserta dalam skala kecil sebelum diperluaskan ke fasa seterusnya pada Jun tahun ini.

Sejumlah RM50 juta diperuntukkan untuk memulakan PLKN 3.0 dengan 13 kem tentera dikenal pasti sebagai lokasi pelaksanaan.

11. LRT3 bernilai RM4.7 bilion siap

LRT3 dijangka siap pada 1 Mac 2025 dengan kerajaan akan meneruskan semula cadangan pembinaan lima stesen LRT3 yang dibatalkan sebelum ini membabitkan kos RM4.7 bilion.

Lima stesen berkenaan merangkumi stesen Tropicana, Raja Muda, Temasya, Bukit Raja dan Bandar Botanik.

Projek pembinaan LRT3 yang bermula di Bandar Utama dan berakhir di Johan Setia, Selangor bakal memberikan manfaat kepada dua juta penduduk.

12. Subsidi tiket penerbangan dinaikkan

Bermula hari ini, kadar inisiatif bantuan subsidi pembelian tiket penerbangan FLYsiswa dinaikkan daripada RM300 kepada RM400.

Tindakan tersebut dijangka memanfaatkan kira-kira 60,000 mahasiswa yang menggunakan penerbangan bagi laluan domestik.

Mahasiswa boleh membuat semakan bermula esok melalui https://subsidiudara.mot.gov.my/.

13. Malaysia Pengerusi ASEAN

Malaysia secara rasmi akan mengambil alih jawatan selaku Pengerusi ASEAN, setelah Laos menyerahkan tanggungjawab itu semasa Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 di Vientiane pada 11 Oktober lalu.

Negara kita akan menjadi tuan rumah kepada lebih 300 mesyuarat dan sidang kemuncak ASEAN sepanjang tahun.

Antaranya Pemukiman Menteri-Menteri Ekonomi ASEAN di Johor (Februari), Mesyuarat Menteri-Menteri Luar ASEAN dan Persidangan Pasca Menteri (AMM/PMC) di Kuala Lumpur (Julai), serta Sidang Kemuncak ASEAN ke-47 di Kuala Lumpur pada Oktober.

Malaysia pernah menjadi Pengerusi ASEAN pada 1977, 1997, 2005 dan 2015.

BACA JUGA ‘Recap’ 14 isu paling kontroversi sepanjang 2024 di Harapan Daily

Â