Tempoh percubaan di T1 dan T2 KLIA, ini kelebihan guna kod QR

Tempoh percubaan penggunaan kod Respons Pantas (QR) khusus untuk rakyat Malaysia akan dilaksanakan bermula bulan ini.

Ia bagi melancarkan sistem pelepasan imigresen khusus di 40 lorong khas Terminal 1 (T1) dan T2 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, penggunaan kod QR di kawasan ketibaan serta pelepasan T1 dan T2 itu adalah langkah penyelesaian terhadap isu kesesakan yang sering berlaku di pintu masuk negara termasuk di KLIA terutama pada waktu puncak dan musim perayaan.

Jelasnya, antara kelebihan penggunaan kod QR adalah tempoh pelepasan imigresen hanya mengambil masa singkat iaitu antara lima hingga tujuh saat berbanding 15 hingga 25 saat menggunakan pintu automatik konvensional.

Beliau berkata, kod QR juga dapat meningkatkan aspek keselamatan dan kecekapan perkhidmatan menerusi penggunaan teknologi terkini serta mengurangkan ketirisan.

“Melalui sistem kod QR ini, pengembara tidak perlu lagi mengeluarkan pasport semasa pelepasan imigresen, namun mereka diwajibkan untuk sentiasa membawa pasport sepanjang perjalanan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Walaupun pelepasan imigresen kini dilaksanakan menggunakan kod QR, Saifuddin berkata, kemudahan kaunter manual dan sistem pagar automatik konvensional akan terus tersedia serta masih boleh digunakan seperti biasa.

Pada Disember lalu, Timbalan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah dilaporkan berkata kerajaan sedang mempertimbangkan penggunaan sistem baharu berasaskan kod QR bertujuan mempercepat proses pemeriksaan di kaunter imigresen, khususnya di KLIA sebagai usaha mengurangkan kesesakan.

BACA JUGA Ajakan berhimpun bantah Hannah dan Nga, ini nasihat kepada Pemuda Pas

Â