Baru tahu ini rupanya alasan Pas bantu bayar saman Siti Mastura

Pas berkata parti itu membantu Ahli Parlimen Kepala Batas, Dr Siti Mastura Muhammad melunaskan bayaran saman fitnah untuk mengelakkan mudarat lebih besar.

Ketua Penerangan Pas Pulau Pinang, Muhammad Fawwaz Mohamad Jan berkata, mereka mahu memastikan Siti Mastura tidak hilang kelayakan sebagai wakil rakyat, sekaligus menyebabkan berlaku Pilihan Raya Kecil (PRK).

Pas mengambil maklum notis kebankrapan akan difailkan terhadap Siti Mastura jika Ahli Parlimen itu gagal membayar jumlah denda diputuskan mahkamah.

“Jika tidak bayar (denda) akan diproses notis kebankrapan dan jika bankrap (muflis) sudah tentu Siti Mastura akan hilang kelayakan sebagai Ahli Parlimen dan PRK akan diadakan semula.

“Selepas pertimbang kos PRK yang akan bawa mudarat (kesan) jauh lebih besar, kita akur pilih (bayar denda) yang kesannya lebih kecil,” katanya memetik Berita Harian.

Siti Mastura boleh hilang kelayakan Ahli Parlimen jika gagal membayar ganti rugi saman fitnah diperintahkan terhadapnya.

Mahkamah Tinggi Georgetown pada 4 Disember lalu memerintahkan pemimpin Pas itu membayar ganti rugi RM825,000 kepada trio DAP, Tan Sri Lim Kit Siang, Lim Guan Eng dan Teresa Kok selepas didapati memfitnah.

Kenyataan mengaitkan semua pemimpin DAP dengan komunis adalah fitnah dan tidak disokong bukti.

Fawwaz ketika mengulas lanjut berkata kutipan dana membantu Siti Mastura diuruskan pihak atasan dengan hanya meminta bantuan ahli Pas sahaja.

“Walaupun ini kesalahan satu pihak saja tetapi dalam sirah (sejarah), ada sahabat yang tersilap, nabi minta bantu sahabat itu,” katanya lagi seperti dilapor.

BACA JUGA Pas keluar ‘dalil’ tahun baharu anggap dosa sekularisme lebih besar dari fitnah, bunuh