Tular lelaki buat kecoh sebelum solat Subuh, ini penjelasan Naqib Masjid TTDI
Lelaki yang tular buat kecoh sebelum solat Subuh semalam di Masjid At-Taqwa Taman Tun Dr Ismail (TTDI), Kuala Lumpur rupanya seorang bukan beragama Islam yang disahkan mengalami masalah mental sejak April 2022.
Dia dikatakan tidak menerima rawatan sejak setahun lalu, kata Naqib Masjid At-Taqwa, Ahmad Fakhruddin Mohd Tahir, berdasarkan kenyataan media oleh Ketua Polis Daerah Brickfields, Asisten Komisioner Ku Mashariman Ku Mahmood.
Menurutnya, suspek tidak menerima rawatan sejak Januari 2023 di Pusat Perubatan Universiti Malaya (PPUM).
Beliau berkata, ekoran insiden menggemparkan itu, polis sudah berjaya mengesan suspek untuk siasatan lanjut.
Jelasnya, kes tersebut disiasat mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan.
![](https://harapandaily.com/wp-content/uploads/2025/01/lelaki-biadab.jpg)
Sehubungan itu, kata Ahmad Fakhruddin, pihak masjid memohon kerjasama orang ramai supaya tidak melakukan sebarang spekulasi dan kenyataan yang boleh menimbulkan syak wasangka yang tidak baik.
“Ketika suspek menceroboh, dia bercakap seorang diri dan seperti dalam keadaan tidak normal hingga berlaku sedikit pergelutan ketika jemaah dan anggota polis hendak menahannya.
“Malah, ketika pihak masjid ingin menghalang pergerakan lelaki itu, dia terus membuat kekecohan dan mengganggu jemaah solat Subuh selain turut merosakkan sebuah televisyen sebelum meluru ke hadapan saf dewan solat utama,” katanya dalam satu kenyataan media hari ini.
Sementara itu, Sinar Harian memetik sumber memaklumkan lelaki berusia lewat 20-an itu memandu kereta dari kediamannya di Jalan U Thant sebelum menuju ke masjid tersebut.
BACA JUGA Mampukah himpunan 6 Januari di Putrajaya jadi lautan manusia seperti 1998?