Hanya selepas empat hari ugut bunuh Baby Shima, pemandu lori ini dah dapat ‘habuan’

Seorang lelaki di Sarawak didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah hari ini membuat komen berbaur ugutan bunuh terhadap penyanyi Baby Shima di Facebook (FB) pada 30 Disember 2024.

Mahkamah Majistret Sibu menjatuhkan hukuman terhadap Mel Maxpherson Munded, 35, sejurus pertuduhan dikemukakan terhadapnya di hadapan Majistret, Oon Kork Chern.

Kork Chern juga mengarahkan tertuduh yang bekerja sebagai pemandu lori dipenjara dua bulan jika gagal membayar denda itu.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melontarkan komen yang berbaur ugutan dan mengancam keselamatan penyanyi terbabit di FB.

Sehubungan itu, dia didakwa mengikut Seksyen 506 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tujuh tahun atau denda atau kedua-duanya sekali, jika sabit kesalahan.

Mengikut fakta kes, pada 30 Disember 2024 kira-kira jam 11 malam, Baby Shima terbaca satu komen di FB dengan ayat “Lagi U masuk Sarawak!!. Hati-hati, your enemy MU sudah. Jangan pulang Melaya dengan mayat saja!! Take care Baby Shima.”

Polis menerima laporan daripada Baby Shima atau nama sebenarnya Nor Ashima Ramli yang tampil ke Balai Polis Sibu pada tengah malam Isnin, 30 Disember lalu dengan ditemani Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing.

Bertindak atas laporan itu, polis berjaya menahan lelaki berusia 35 tahun di Kota Sentosa, di Kuching, pada jam 9.15 malam, 31 Disember lalu.

BACA JUGA Tular lelaki buat kecoh sebelum solat Subuh, ini penjelasan Naqib Masjid TTDI

Â