Kemuka permohonan pengampunan, Agong miliki kuasa prerogatif

Banduan hendaklah mengemukakan permohonan keampunan atau pengurangan hukuman untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Yang di-Pertuan Agong.

Mengikut Istana Negara dalam satu kenyataan hari ini, Yang di-Pertuan Agong memiliki kuasa prerogatif menurut peruntukan Perkara 42(1) dan (2) Perlembagaan Persekutan untuk memberi ampun, tunda hukum dan lega hukum bagi apa-apa kesalahan yang dilakukan di dalam Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Labuan dan Putrajaya.

Seri Paduka Baginda juga boleh meremit, menggantung atau meringankan apa-apa hukuman yang telah dijatuhkan oleh mahkamah bagi kesalahan tersebut.

“Kuasa ini dijalankan dengan nasihat Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda.

“Oleh itu, sekiranya mana-mana pihak ingin mencadangkan supaya mana-mana banduan untuk diberi keampunan atau pengurangan hukuman, permohonan berkenaan hendaklah dikemukakan oleh banduan berkenaan untuk dipertimbangkan oleh Lembaga Pengampunan yang dipengerusikan oleh Seri Paduka Baginda pada mesyuarat akan datang.

“Semua pihak dingatkan untuk menghormati Perlembagaan dan undang-undang yang ditetapkan,” menurut kenyataan itu lagi.

BACA JUGA Yang terancam hanyalah PN, ramai pula ‘rindu’ zaman cabutan judi 22 kali