Pandangan penduduk setempat tidak diketepi, ciri kemelayuan kekal

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pandangan penduduk setempat tidak akan diketepikan dan ciri kemelayuan dikekalkan dalam sebarang pembangunan akan datang di Kampung Baru.

Menurutnya, sejarah dan status tanah Kampung Baru akan diambil kira terlebih dahulu untuk memastikan ia kekal sebagai kampung Melayu.

Ini kerana, jelasnya, pembangunan di Kampung Baru juga akan menjadi pemangkin kepada keseluruhan pembangunan Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur.

“Kita akan memastikan pembangunan masa depan di Kampung Baru mengambil kira sejarah serta status tanahnya untuk terus menjadikan kawasan ini kekal sebagai kampung Melayu.

“Kampung Baru ini penuh dengan sejarah, terkenal dengan warisan seperti makanan.

“Akhirnya, kampung Baru akan menjadi ‘katalis’ kepada pembangunan keseluruhan Wilayah Persekutuan dan Kuala Lumpur,” ujarnya.

Dr Zaliha berkata demikian selepas hadir Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin sempena sambutan 125 tahun Kampong Bharu di Masjid Jamek Kampong Bharu di ibu negara malam tadi.

Turut hadir dalam majlis anjuran bersama Perbadanan Pembangunan Kampong Bharu (PKB) dan Masjid Jamek Kampong Bharu itu ialah Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani.

 Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani turut hadir dalam Majlis Kesyukuran dan Bacaan Yasin sempena sambutan 125 tahun Kampong Bharu malam tadi.

Mengulas lanjut, Dr Zaliha berkata, pembangunan di kampung itu perlu dibuat dengan berhati-hati kerana tempoh 125 tahun bukan satu jangka masa pendek.

“Sudah tentu Kampung Baru ini ada sejarah dan saya sebagai menteri yang menerajui pembangunan Wilayah Persekutuan, saya akan memastikan pembangunan yang akan dilaksanakan pada masa hadapan tidak mengetepikan orang Melayu.

“Jadi, kita kena berhati-hati dalam membuat pembangunan itu, termasuk pembangunan baharu supaya ciri kemelayuan dikekalkan.

“Tambahan pula, negara kita mempunyai banyak agenda sempena Kepengerusian ASEAN pada tahun ini dan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026,” tambahnya lagi.

BACA JUGA Tular lelaki buat kecoh sebelum solat Subuh, ini penjelasan Naqib Masjid TTDI

Â