Pemerhati rasuah dedah kewujudan kartel, ‘runner’ dalam Puspakom
Pemerhati Rasuah Malaysia (MCW) menyokong langkah kerajaan untuk mengkaji semula monopoli Puspakom dengan memberi lesen kepada lebih banyak syarikat.
Ini kerana kata Presidennya, Jais Abdul Karim, kegiatan kartel dan ‘runner’ yang memanipulasi proses pemeriksaan kenderaan di Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) sudah lama berlaku.
Beliau berkata, kumpulan kartel sudah lama wujud namun hanya didedahkan baru-baru ini yang menurutnya telah menunjukkan kelemahan dalam penguatkuasaan dan pemantauan.
“Bagaimanapun, MCW menyeru pihak berkuasa agar memastikan siasatan dilakukan dengan telus, tegas, dan segera bagi mengembalikan keyakinan rakyat terhadap sistem pemeriksaan kenderaan di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Pada masa sama MCW berkata, tindakan tegas perlu diambil kepada semua pihak terlibat termasuklah kakitangan dalaman, ‘runner’, dan pemimpin kartel.
Berkenaan langkah memecahkan monopoli Puspakom, Hais berkata keputusan itu perlu dilaksanakan dengan penuh berhati-hati dan memerlukan mekanisme kawalan ketat.
Beliau mencadangkan agar pelaksanaan lesen kepada syarikat lain perlu disertai dengan sistem pemantauan ketat bagi mengelakkan pembentukan kartel baharu.
Tambah Jais, perlu ada persaingan sihat antara syarikat yang dilantik dengan satu polisi yang jelas harus digubal untuk memastikan persaingan antara syarikat ini adalah telus dan beretika, tanpa campur tangan sindiket atau orang tengah.
Di samping itu, katanya SPRM perlu sentiasa dilibatkan untuk memastikan sebarang kelemahan dalam sistem baharu ini dapat dikenal pasti dan diatasi dengan segera.
BACA JUGA Himpunan Pas: Tiada gambar pandangan dari atas, yang turun pun geng sendiri