Himpunan Pas terancam: Tiada gambar pandangan atas, geng sendiri pun yang turun

Sambutan orang ramai terhadap unjuk rasa anjuran Pemuda Pas dan Bersatu selepas solat Jumaat di Masjid Jamek Kampung Baru hari ini mengundang persoalan termasuk tiada gambar pandangan dari atas.

Itu antara reaksi warganet terhadap demonstrasi yang digambarkan sebagai himpunan pembangkang terutamanya Pas terancam susulan perkongsian sejumlah foto di Facebook (FB) Pemuda Pas Malaysia.

Didapati ‘view’ dan sudut gambar nampaknya lebih banyak dari jarak dekat sekaligus gagal menampakkan keadaan dan suasana sebenar himpunan secara menyeluruh.

“Para peserta Himpunan Bangkit Umat dengan penuh semangat dan secara sukarela bersama-sama menuju ke IPD Dang Wangi untuk bersama-sama membuat laporan atas tindakan beberapa menteri yang mengganggu sensitiviti umat Islam,” menurut hantaran di FB sayap parti dari blok Perikatan Nasional (PN) itu.

Dilaporkan kira-kira 200 peserta berkumpul dan berarak dalam program yang digembar-gemburkan sebagai Himpunan Bangkit Ummah.

Angka itu pun setelah ‘menunggang’ slot solat Jumaat memandangkan jika diadakan pada hari lain, kehadiran peserta himpunan dijangka mungkin sekitar 20 orang.

Kelihatan kenderaaan geng Ustaz Pas, Pertubuhan Pendokong dan Pencinta Ulama’ (Geng Ustaz) mendahului perarakan sejauh kira-kira 1.2 kilometer menuju ke IPD Dang Wangi.

Sebelum berarak, bekas pemimpin PKR yang kini pemimpin Bersatu, Badrul Hisham Shaharin atau dikenali sebagai Chegubard antara yang tampil berucap.

Dalam himpunan yang dikawal Unit Amal dari Pas itu, seorang warga emas dilihat memegang sepanduk antaranya dengan ungkapan, “DAP ancam Melayu & Islam”.

BACA JUGA Hanya selepas empat hari ugut bunuh Baby Shima, pemandu lori ini dah dapat ‘habuan’

Â