Tiada terpalit skandal sepanjang dua tahun kerajaan MADANI, ini sebabnya
Perdana Menteri menyifatkan usaha Kerajaan Perpaduan memperkasakan tatakelola yang baik sebagai satu kejayaan berikutan tiada skandal atau kes besar boleh dipalitkan sepanjang dua tahun usia Kerajaan MADANI.
Sehubungan itu, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang juga Menteri Kewangan mahu penjawat awam melonjakkan ekonomi dan prestasi negara ini.
“Sementara kita tekankan soal tatakelola, yang saya anggap satu kejayaan, orang banyak cerita tentang kes-kes yang lama, saya nak sebut dalam dua tahun ini, saya syukur ke hadrat Allah SWT kerana kita menjalankan proses tender yang telus dan tidak ada satu skandal besar yang pernah diungkapkan sepanjang dua tahun ini.
“Dan bagi saya ini kejayaan yang lebih besar, kita ada keupayaan dan tidak boleh menyelesaikan semua masalah.
“Negara ini, negara hukum, dan kita harus ambil keputusan berdasarkan tatakelola yang baik.
“Dan MADANI menekankan soal nilai, jadi jangan kita umpama terheret dengan perbincangan hiruk-pikuk yang lain,” katanya.
Anwar berkata demikian ketika menyampaikan amanat Tahun Baharu 2025 dalam perjumpaan bersama warga Jabatan Perdana Menteri (JPM) di Putrajaya pada Jumaat.
Dalam masa sama, beliau turut memohon semua pihak memberi kepercayaan dan masa dua tahun lagi kepada Kerajaan MADANI untuk membuktikan dalam menjadikan Malaysia sebagai negara hebat di rantau Asia.
“Saya mahu penjawat awam punyai satu ketetapan, bahawa tugas kita ialah melonjakkan ekonomi dan prestasi negara kita.
“Percayalah saudara saudara beri satu dua tahun kalua semangat begini rupa, pengiktirafan begini rupa dan kesatuan semangat kita, saya percaya, kita akan saksikan, Malaysia sebagai negara hebat di rantau ini. Saya yakin,” kata Perdana Menteri lagi.
BACA JUGA Yang terancam hanyalah PN, ramai pula ‘rindu’ zaman cabutan judi 22 kali
Â