Takkan nak dengar rintihan seorang banduan sahaja, kata penyokong Mahathir

Tokoh wartawan veteran, Datuk A Kadir Jasin mempersoal apa perlunya mendengar rintihan seorang banduan ketika perbicaraan terhadap Datuk Seri Najib Razak dalam kes SRC International Sdn Bhd membabitkan sembilan hakim di tiga peringkat mahkamah.

Beliau yang umum diketahui penyokong Tun Dr Mahathir Mohamad berkata, kesemua hakim terbabit iaitu seorang hakim di Mahkamah Tinggi, tiga hakim di Mahkamah Rayuan dan lima hakim di Mahkamah Persekutuan memutuskan Najib, 71, sebagai bersalah.

“Saksi pun bukan seorang dua tapi berpuluh-puluh orang. Kerajaan, melalui pendakwa raya, kemukakan 57 orang saksi manakala pihak Mohd Najib kemukakan 19 orang.

“Bicara pun bukan sehari dua tetapi berbulan-bulan. Keterangan saksi pendakwa mengambil masa 58 hari dan pembela 33 hari.

“Jadi, minta maaflah kalau saya kata, saya tak faham pasal apa tergesa-gesa sangat nak ringankan hukuman dia, nak penjara dia di rumah malah, kalau boleh, nak bebaskan dia,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Datuk A Kadir Jasin

Beliau mengingatkan semua pihak sepatutnya mengutamakan dan melindungi kewibawaan institusi-institusi utama negara seperti institusi raja, Perlembagaan dan kehakiman.

“Mamat-mamat daripada segala parti politik dan pertubuhan hendak tuduh Kerajaan Madani derhaka boleh. Itu hak mereka. Tapi guna nama seorang banduan sebagai alasan adalah tidak masuk akal.

“Berjuta-juta rakyat jelata memerlukan perhatian dan pembelaan dalam pelbagai hal, mengapa Mohd Najib seorang diberi keutamaan? Adakah kerana dia kaya dan keturunannya mulia?

“Kita kena ingat, berpuluh-puluh malah mungkin beratus-ratus orang terlibat menyiasat, mendakwa dan mengadili Mohd Najib.

“Takkan semua mereka bohong. Takkan kita hendak dengar rintihan seorang banduan saja?” tempelaknya.

Najib Razak

Najib yang juga suami Datin Seri Rosmah Mansor telah menjalani hukuman di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022, selepas disabitkan dengan kesalahan menyeleweng RM42 juta daripada SRC International Sdn Bhd.

Bekas Perdana Menteri yang terkenal dengan slogan 1Malaysia itu memfailkan petisyen untuk mendapatkan pengampunan diraja pada 2 September 2022.

Susulan itu, Lembaga Pengampunan mengurangkan separuh hukuman penjaranya daripada 12 tahun kepada enam tahun serta denda daripada RM210 juta kepada RM50 juta.

Mahkamah Rayuan menetapkan 6 Januari ini untuk mendengar rayuan Najib terhadap keputusan Mahkamah Tinggi berkaitan Titah Adendum.

Sebelum ini, Mahkamah Tinggi menolak kebenaran semakan kehakiman dan notis usul yang difailkan oleh Najib untuk mengemukakan keterangan tambahan berkaitan Titah Adendum yang dikatakan dikeluarkan Agong terdahulu berhubung tahanan rumah.

Ekoran itu, Pas merancang himpunan Solidariti Bersama Najib Razak Menuntut Keadilan di Mahkamah Rayuan, Istana Kehakiman, Putrajaya pada Isnin ini.

Mengulas lanjut, A Kadir berkata, selepas Pejabat Peguam Negara mengeluarkan kenyataan mengenai pengampunan diraja, pada 28 Disember lalu, semalam giliran Istana Negara pula.

“Inti pati kenyataan Istana Negara itu adalah mengenai kuasa prerogative Yang di-Pertuan Agong memberi ampun, menunda hukum atau lega hukum bagi sebarang kesalahan yang dilakukan di Wilayah Persekutuan.

“Sultan Ibrahim, sebagai Yang di-Pertuan Agong, memiliki kuasa mengikut Perkara 42 (1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Ia dijalankan mengikut nasihat Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan yang mana Baginda adalah Pengerusi.

“Isu pengampunan ini menjadi heboh kerana banduan yang terlibat adalah bekas Perdana Menteri, Mohd Najib Abdul Razak.

“Bagi yang sudah lupa atau tidak pernah tahu, Mohd Najib ini bukanlah dibicarakan main-main oleh “kangaroo court”.

“Dia (Najib) pun bukan curi Milo atau roti Bengali,” kata A Kadir lagi yang pernah dilantik sebagai penasihat media dan komunikasi di Pejabat Perdana Menteri pada 2018 Ketika Mahathir dilantik Kembali sebagai Perdana Menteri.

BACA JUGA MP Pasir Mas derhaka melata di media sosial, kesal dakwaan biawak

Â