Berhimpun untuk raikan dia memalukan Melayu, kata anak penasihat SG4

“Apa kejadahnya nak berhimpun untuk Datuk Seri Najib Razak ini,” kata Datuk Seri Mukhriz Mahathir.

Anak kepada penasihat SG4 itu berkata, Najib adalah pemimpin yang menghancurkan imej orang Melayu, maka perhimpunan untuk menyokong beliau memalukan masyarakat Melayu.

Mukhriz berkata, Pakatan Harapan sudah termasuk dalam perangkap samar dan tersilap langkah kerana mahu berhimpun untuk Najib.

“Kalau perpaduan dan penyatuan yang diusahakan (kerajaan) itu bertujuan untuk menjaga kepentingan masyarakat Melayu dan tidak sesekali menafikan hak kaum lain, maka kami setuju dan sokong.

“Tapi apa kejadahnya nak berhimpun untuk Najib Razak ini. Tidakkah dia pemimpin Melayu yang menghancurkan imej orang Melayu.

“Dialah orang yang meleraikan UMNO dan Barisan Nasional sehingga kalah dalam Pilihan Raya Umum (PRU) pada 2018. Nak kata kami menjatuhkan dia, dia sendiri yang menjatuhkan diri dia. Jadi dia tak perlu salahkan orang lain.

“Masyarakat Melayu sepatutnya sedar perkara itu. Berhimpun untuk menyokong dia memalukan masyarakat Melayu kita,” katanya dalam satu sesi siaran podcast atas talian baru-baru ini bertajuk “Suara Marhaen” edisi ambang 2025.

UMNO telah membatalkan hasrat mereka untuk berhimpun di Istana Kehakiman pagi ini, dengan Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkata mana-mana ahli yang masih mahu menyertai perhimpunan tersebut, perlu menanggung sendiri sebarang risiko yang akan dihadapi.

Sementara itu Pas menerusi Setiausaha Agungnya, Datuk Seri Takiyuddin Hassan pula berkata partinya tetap akan meneruskan rancangan mereka untuk berhimpun.

Pas mendakwa perhimpunan itu semata-mata mahu mempertahankan kuasa dan prerogatif Yang di-Pertuan Agong.

Hari ini Mahkamah Rayuan akan mendengar rayuan Najib berhubung penolakan permohonannya untuk menjalani baki hukuman penjara enam tahun di rumah, kerana mendakwa wujud Titah Adendum untuknya mendapatkan tahanan rumah.

Ia akan dimulakan pada pukul 9 pagi di hadapan panel tiga hakim yang terdiri daripada Hakim Datuk Azizah Nawawi, Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril

BACA JUGA Suami yang dirampas, kenapa kereta aku jadi mangsa?