Najib berjaya dapat kebenaran mulakan semakan kehakiman sahkan Titah Adendum
Datuk Seri Najib Razak berjaya mengenepikan keputusan Mahkamah Tinggi selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan permohonannya untuk memulakan prosiding kehakiman mengenai kewujudan Titah Adendum yang dikatakan diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16.
Perkara itu diputuskan secara majoriti 2-1 oleh Hakim Datuk Azhahari Kamal Ramli dan Datuk Seri Mohd Firuz Jaffril yang membenarkan rayuan Najib, manakala Hakim Datuk Azizah Nawawi yang mengetuai panel menentangnya.
Titah Adendum berkenaan dikatakan telah diperkenan oleh Yang di-Pertuan Agong ke-16 yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman penjara enam tahun di bawah tahanan rumah.
Najib ingin mendapatkan kebenaran memulakan semakan kehakiman bagi memaksa kerajaan dan enam responden lain menjawab mengenai wujud atau tidak Titah Adendum pada Januari tahun lalu.
Najib juga memohon perintah jika titah itu wujud, maka semua responden perlu melaksanakannya dengan serta-merta memindahkan beliau dari Penjara Kajang ke kediamannya di Kuala Lumpur untuk menjalani baki hukuman penjara di rumah.
Mahkamah Tinggi telah menolak permohonan itu. Mahkamah Rayuan pula membenarkan permohonan Najib sekaligus menolak keputusan Mahkamah Tinggi.
Kes akan dikembalikan ke Mahkamah Tinggi agar meritnya diputuskan oleh hakim yang akan mendengarnya.
Pada 23 Ogos 2022, selepas disabitkan kesalahan menyeleweng dana RM42 juta milik SRC, Najib kemudiannya memfailkan petisyen untuk pengampunan diraja pada 2 September 2022.
Lembaga Pengampunan mengurangkan hukuman penjara Najib daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
BACA JUGA Shafee dedah surat dari Istana Pahang, Titah Adendum wujud