CEO Puspakom bersuara lepas 6 pegawai digantung tugas gara-gara lulus kenderaan tak selamat

Sejak pihak berkuasa menjalankan serbuan mengejut ke Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) hujung tahun lalu, banyak kesalahan yang ditemui termasuk dakwaan wujud kartel di dalam agensi itu.

Hasil serbuan, pihak Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ)  mendapati ada kenderaan yang dianggap tidak selamat telah lulus pemeriksaan Puspakom.

Terbaru dilaporkan, enam pegawai pemeriksa yang disyaki terlibat dalam sindiket meluluskan pemeriksaan kenderaan berat di Puspakom digantung tugas serta-merta.

Ketua Pegawai Eksekutif Puspakom Mahmood Razak Bahman berkata, pihaknya tidak akan melindungi sesiapa pun yang terbabit dengan jenayah rasuah.

Beliau juga tidak akan berkompromi  dengan sebarang salah laku khususnya membabitkan integriti operasi pemeriksaan kenderaan.

“Seperti yang sudah berkali-kali saya tegaskan, Puspakom tidak akan berkompromi terhadap sebarang jenayah rasuah.

“Sekiranya terdapat bukti kesalahan, kami tidak akan teragak-agak untuk mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana kakitangan yang terlibat dalam kegiatan seperti ini.

“Hal ini termasuklah mereka yang bersekongkol dengan sindiket dan menjalankan aktiviti meluluskan pemeriksaan kenderaan secara tidak sah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Puspakom juga sedang melancarkan siasatan dalaman sekali gus memberi jaminan sesiapa yang mempunyai kaitan dengan jenayah berkenaan akan diserahkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan sewajarnya.

BACA JUGA Anthony kecam Hadi heret DAP dalam isu Titah Adendum Najib