Elak sebar ideologi, ini senarai enam buku diharamkan
Enam tajuk penerbitan diwartakan Perintah Larangan mengikut Akta Mesin Cetak dan Penerbitan 1984 (Akta 301) berkuat kuasa 19 Disember lalu.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam kenyataan memaklumkan kesemua buku itu dikenakan Perintah Mesin Cetak dan Penerbitan (Kawalan Hasil Penerbitan Tidak Diingini) 2024.
Senarai buku tersebut ialah:
1) ‘A ‘Million Kisses In Your Lifetime’ (Monica Murphy)
2) ‘Lose You To Find Me’ (Erik J Brown)
3) ‘Punai’ ( Asyraf Bakti)
4) ‘Scattered Showers’ (Rainbow Rowell)
5) ‘When Everything Feels Like The Movie’ (Raziel Reid)
6) ‘What If It’s Us’ (Becky Albertalli dan Adam Silverra).
Menurut KDN, langkah pengharaman itu bagi menjaga keselamatan dan ketenteraman awam serta mengambil tindakan mengawal dan menguatkuasakan peraturan terhadap mesin cetak di negara ini.
Jelasnya, ia penting bagi mengelak penyebaran ideologi atau gerakan bertentangan budaya dan nilai murni masyarakat majmuk di negara ini.
“Perintah larangan mengikut Akta 301 ini berasaskan konsep kawalan dan pencegahan sebelum suatu ancaman atau kemudaratan berlaku.
“Pada masa sama, masyarakat turut mendapat pendedahan dan kesedaran mengenai hasil penerbitan yang tidak diingini serta tidak sesuai untuk bacaan umum,” katanya.
Tegas KDN, tindakan perintah larangan bagi semua hasil penerbitan berkenaan selaras peruntukan Subseksyen 7(1) Akta 301 yang menetapkan pencetakan, pengimportan, penghasilan semula, penerbitan, penjualan, pengeluaran, pengelilingan, pengedaran atau pemilikan enam hasil penerbitan itu yang mungkin memudaratkan kemoralan adalah dilarang secara mutlak di negara ini.
Berdasarkan peruntukan Subseksyen 8(2) Akta 301, mana-mana individu yang melakukan kesalahan itu dan disabitkan kesalahan boleh dipenjara selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau denda tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya.
“Kerajaan komited dan akan melaksanakan tindakan kawal selia serta penguatkuasaan berterusan terhadap mesin cetak dan hasil penerbitan khususnya dalam mencegah penyebaran elemen, fahaman mahupun gerakan yang bercanggah dengan sosiobudaya tempatan selaras peruntukan perundangan yang berkuat kuasa demi keharmonian dan kesejahteraan bersama,” menurut KDN lagi.
BACA JUGA AMK seru rakan Kerajaan Perpaduan jangan terperdaya permainan PN
Â