Mat Saleh teruja pandu Proton Saga di UK, anggap ia kereta terbaik di dunia

Seorang YouTuber warga United Kingdom (UK) teruja selepas berjaya memiliki sebuah kereta Proton Iswara buatan Malaysia yang dibelinya dalam platform e-dagang eBay.

Melalui saluran YouTube Geoff Buys Cars, Mat Saleh itu berkata datuknya pernah memiliki kereta jenis Proton Iswara satu ketika dahulu pada 1996.

Ia membuatkannya teruja dan berusaha mencari kenderaan yang sama dengan datuknya sebelum menemui iklan Proton Iswara untuk dijual – yang sekarang ini dijenamakan sebagai Proton Saga.

“Saya nampak kereta ini untuk dijual dan saya teringat bahawa datuk saya pernah memiliki kereta seperti ini. Saya sangat inginkannya untuk merasai pengalaman memandu Proton,” katanya di Youtube.

Lebih menerujakan kereta yang dibelinya itu walaupun nampak lama, tetapi masih dalam keadaan baik dan boleh melakukan pemanduan jarak jauh.

Mat Saleh itu begitu terkejut dengan bentuk serta cara buatan kereta nasional itu dan beranggapan model tersebut merupakan sebuah kereta lengkap dan ringkas yang sebenar.

“Ini kereta kesayangan datuk saya, dia beli model baharu pada tahun 1996 selepas dia bersara.

“Sehingga kini, Proton ini masih praktikal dan cukup sedap dipandu walaupun perjalanan jauh,” katanya.

Pengikut saluran YouTube itu juga turut meninggalkan komen pengalaman pemanduan mereka bersama Proton Iswara, ternyata ramai yang memuji model kedua Proton itu.

“Saya masih ada kereta ini. Masih boleh digunakan sejak 1993. Mudah untuk menjaganya,” kata nasiryusoff.

BACA JUGA Comelnya! Apa sebenarnya maksud beruang matahari pada poster Visit Malaysia 2026?