Patutlah awal tahun pun tak nampak minyak masak paket

Satu demi satu kegiatan menyeleweng dan menyembunyikan paket minyak masak berjaya dibongkar oleh pihak berkuasa.

Terbaru pihak berkuasa berjaya menemui minyak masak paket sebanyak 303 kilogram yang didakwa disorokkan di sebuah kedai runcit di Halaman Pasar, Taiping.

Perbuatan itu berjaya dibongkar Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Dan Kos Sara Hidup (KPDN) Cawangan Taiping ketika membuat uji beli di kedai berkenaan susulan terdapat aduan awam tentang minyak masak disorok.

Pengarah KPDN Perak, Datuk Kamalludin Ismail, berkata, ketika membuat uji beli di kedai runcit berkenaan, penjual memaklumkan minyak masak 1 kilogram itu habis dijual.

Pegawai KPDN yang berasa curiga dengan jawapan itu lantas melakukan pemeriksaan sebelum menemui berkotak-kotak minyak masak paket yang tersimpan di dalam stor dan sebahagiannya di kaunter bayaran premis.

“Hasil siasatan kita dapati, pemilik premis ini secara palsu menafikan bahawa dia mempunyai barang kawalan berjadual iaitu minyak masak peket 1kg dalam milikannya.

“Kesemua 303kg minyak masak tersebut dianggarkan berjumlah RM757.50 telah disita bagi siasatan lanjut di bawah Akta Kawalan Bekalan 1961,” katany dalam satu kenyataan.

KPDN tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang didapati terlibat dalam aktiviti atau sindiket penyelewengan barang-barang kawalan.

Beliau berkata, pihaknya akan terus melaksanakan aktiviti penguatkuasaan mencegah penyelewengan barang kawalan, mengekang penipuan perniagaan dalam talian (edagang), membanteras monopoli dan kewujudan kartel.

BACA JUGA MP Bersatu dikecam putar isu solidariti Najib selagi boleh

Â