Padah berani sangat hina Agong di X, peniaga kena cekup polis

Seorang peniaga gerai makanan ditahan polis gara-gara membuat hantaran menghina Yang di-Pertuan Agong dengan mendakwa baginda mendiamkan diri dalam isu Hannah Yeoh sebagai duta Tuhan.

Lelaki berkenaan dalam satu hantaran di X, melemparkan tuduhan bahawa Agong membisu kerana “memerlukan duit”.

Susulan itu Ketua Polis Johor, Datuk M. Kumar berkata, lelaki tempatan berusia 55 tahun itu telah ditahan di sekitar bandar raya itu pada 30 Disember lalu.

Beliau berkata pihaknya turut merampas sebuah telefon bimbit dipercayai digunakan lelaki berkenaan untuk memuat naik hantaran tersebut.

Mengikut kenyataan polis, suspek telah memuat naik kenyataan bertulis, “Sebagai rujukan rakyat Malaysia untuk PRU16 – Kes Hannah Yeoh Menjadi duta tuhan dan menyebarkan agamanya secara senyap melebihi kes GISBH namun Agong mendiamkan diri.

“Jadi saya tolong jawab ya kenapa Agong masih membisu. Buat masa ini Agong masih lagi perlukan duit, duit masih tidak cukup kalau dia berbunyi nanti duit tak masuk. Harap rakyat Malaysia faham ya”.

Demikian hantaran yang dibuat.

Sehubungan itu, Kumar memberitahu, kertas siasatan telah dilengkapkan dan suspek akan dituduh di mahkamah hari ini mengikut Seksyen 4(1)(c) Akta Hasutan 1948

BACA JUGA CEO Puspakom bersuara lepas 6 pegawai digantung tugas gara-gara lulus kenderaan tak selamat

Â