Polis sahkan Hannah Yeoh buat laporan komen berbaur hasutan

Polis mengesahkan menerima satu laporan daripada Menteri Belia dan Sukan, Hannah Yeoh berhubung pelbagai hantaran di media sosial yang didakwa berbaur hasutan.

Menurut Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Rusdi Mohd Isa, Ahli Parlimen Segambut berkenaan tampil membuat laporan polis di ibu negara pada 31 Disember lalu.

“Hannah Yeoh ada buat laporan polis pada 31 Disember lalu,” katanya dalam satu jawapan ringkas kepada media, hari ini.

Pada 31 Disember lalu, Hannah menerusi platform X memaklumkan beliau sudah tampil membuat satu laporan polis berhubung isu panas itu.

“Sehingga hari ini, terlalu banyak hantaran di media sosial yang berbaur hasutan sedangkan kes ini masih dalam proses untuk membuktikan keadilan buat diri saya.

“Oleh sebab itulah saya membuat laporan polis semua dakwaan yang tular tersebut,” kata Hannah.

Terdahulu, tersebar video dan mesej yang memberi gambaran kononnya Hannah berhasrat memurtadkan orang Muslim atau menjadikan Malaysia sebagai negara Kristian.

Susulan itu, Hannah menyifatkan penyebaran video dan mesej berniat jahat itu dikhuatiri boleh menjejaskan rayuannya berhubung kes saman fitnah terhadap bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 23 Disember lalu menolak saman fitnah Hannah terhadap Musa berhubung dakwaan kenyataan fitnah pada forum ‘Wacana Isu Semasa Perjanjian Damai Hat Yai 1989: PKM Menyerah Diri?’ di Universiti Teknologi MARA (UITM) pada 30 Januari 2020.

Kenyataan dipertikaikan itu didakwa menuduh pemimpin menulis buku bertajuk Becoming Hannah: A Personal Journey untuk menjadikan Malaysia sebuah negara Kristian, merosakkan Islam dan negara, serta meletakkan kepentingan peribadinya di atas kepentingan negara.

BACA JUGA AMK seru rakan Kerajaan Perpaduan jangan terperdaya permainan PN

Â