Selepas warga Palestin mengamuk lagi di wisma transit, ini usaha kerajaan sedang dibuat
Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan sedang berbincang dan mengadakan koordinasi dengan kerajaan Mesir bagi urusan penghantaran pulang lebih 100 pesakit dan waris warga Palestin yang menerima rawatan di Malaysia.
Menurut Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, dalam masa yang sama, kebajikan mangsa keganasan Israel itu akan terus dipantau bagi memastikan mereka menerima rawatan perubatan seperti biasa.
“Ia melibatkan dan akan diselaraskan Kementerian Luar dan Kementerian Pertahanan, maka kita serah pada mereka untuk diselaras dan diuruskan.
“Perbincangan diteruskan, sama ada mereka akan dihantar pulang melalui Mesir atau melalui negara lain, ini akan dimaklumkan kemudian,” katanya dalam sidang media mingguan kementerian, hari ini.
Minggu lalu, tular rakaman video memaparkan sekumpulan individu warga Palestin mengamuk dan merosakkan serta membakar barang di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) dekat Jalan Buku Lima, Kementah di ibu negara.
Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam kenyataan pada 5 Januari lalu, memaklumkan kekecohan itu dipercayai berpunca daripada keinginan warga Palestin yang mahukan proses permohonan mereka untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.
Pada 16 Ogos tahun lalu, dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara TUDM Subang.
Rakyat Palestin yang dibawa itu termasuklah 41 lelaki, wanita dan kanak-kanak yang cedera, termasuklah bayi seawal usia lapan bulan, serta saudara-mara mereka.
Namun, berlaku kekecohan dan tindakan merosakkan harta benda awam di wisma transit itu pada Oktober lalu.