Kerajaan manfaat kedudukan strategik Malaysia, fokus jadi hab global 2025
Perdana Menteri berkata, kerajaan ingin memanfaatkan kedudukan strategik Malaysia sebagai pusat penting bagi elektrik, bakat, dan rantaian bekalan.
Hala tuju baharu pada tahun 2025 itu bertujuan untuk memperkukuhkan peranan negara sebagai pemain utama dalam ekonomi serantau dan global.
Kata Datuk Seri Anwar Ibrahim, ia dipacu dari kejayaan Malaysia pada tahun lalu yang berjaya mencatat rekod pelaburan tertinggi dalam semikonduktor dan pusat data.
“Pada tahun 2024, Malaysia berjaya mengawal inflasi, mengurangkan pengangguran, dan menstabilkan mata wang.
“Kita mencatatkan rekod penciptaan pekerjaan, pasaran saham terbaik di ASEAN, serta pelaburan asing tertinggi dalam semikonduktor dan pusat data.
“Pada tahun 2025, kita ingin memanfaatkan kedudukan strategik sebagai pusat elektrik, bakat, dan rantaian bekalan,” katanya dalam Forum Ekonomi Malaysia 2025 hari ini.
Anwar berkata, Malaysia akan terus memperkukuhkan kepakaran dalam sektor minyak & gas, semikonduktor, dan kewangan Islam, dengan matlamat untuk menjadi peneraju global dalam bidang-bidang ini.
Pendekatan Malaysia yang bersikap neutral dan terbuka terhadap kerjasama menjadikannya pilihan sebagai hab untuk pelbagai usaha sama antarabangsa.
Dengan strategi ini, Malaysia optimis dapat menarik lebih banyak pelaburan dan memperkukuhkan kedudukannya di peringkat global.
BACA JUGA Terbongkar lagi kegiatan sorok minyak masak paket, patutlah susah cari