Terbongkar lagi kegiatan sorok minyak masak paket, patutlah susah cari
Pihak berkuasa berjaya membongkar lagi satu kegiatan menyorokkan minyak masak yang didalangi sebuah restoran di Kuantan, Pahang.
Restoran itu didakwa menyimpan 112 kilogram (kg) minyak masak peket bersubsidi, melebihi had yang dibenarkan.
Menurut Pengarah KPDN Pahang, Jezlily Jamaluddin, pihaknya melakukan serbuan selepas mendapat maklumat dari orang awam.
Hasil pemeriksaan mendapati pihak restoran mempunyai Permit Barang Kawalan Berjadual yang sah, namun permit hanya membenarkan penyimpanan barang kawalan bukan subsidi.
Selain 112 kilogram minyak masak, KPDN turut menyita dokumen perniagaan untuk siasatan lanjut.
“Satu kertas siasatan dibuka di bawah Akta Kawalan Bekalan (AKB) 1961 kerana memiliki barang kawalan berjadual melebihi had yang ditetapkan.
“Individu yang disabit kesalahan boleh didenda maksimum RM1 juta atau dipenjara sehingga dua tahun, manakala bagi kesalahan berulang, denda boleh meningkat sehingga RM3 juta atau penjara lima tahun,” katanya dalam satu kenyataan.
Jezlily turut memberi amaran keras bahawa minyak masak bersubsidi adalah untuk kegunaan isi rumah dan bukan untuk tujuan komersial.
Beliau mengalu-alukan maklumat daripada pengguna untuk bersama membantu menjadi mata dan telinga kementerian selaras dengan inisiatif `Kita Gempur’ iaitu pelaksanaan langkah strategik kerajaan.
“Orang ramai digalakkan menyalurkan maklumat jika mengesan sebarang aktiviti mencurigakan berkaitan barang kawalan atau subsidi melalui saluran aduan rasmi KPDN,” katanya.
BACA JUGA ‘Kalau tak buat video, tak tahu anak dia pakai beg sekolah LV RM20,000’