Probowo ke Malaysia hari ini bertemu Perdana Menteri

Presiden Republik Indonesia, Prabowo Subianto, dijadualkan mengadakan lawatan kerja rasmi ke Malaysia hari ini, 9 Januari.

Menurut Wisma Putra, ini merupakan lawatan kerja pertama beliau ke negara ini sejak dilantik sebagai Presiden pada Oktober 2024.

Kenyataan itu menyebut, lawatan ini adalah cerminan hubungan istimewa antara Malaysia dan Republik Indonesia yang ditunjangi oleh kerjasama kukuh dalam pelbagai bidang, termasuk ekonomi, sosio-budaya, pertahanan, dan keselamatan.

Semasa lawatan ini, Prabowo dijadualkan mengadakan pertemuan bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Kedua-dua pemimpin akan membincangkan kerjasama dua hala dan meneroka potensi kerjasama baharu untuk memperkukuh hubungan kedua-dua negara.

“Perdana Menteri juga akan turut meraikan Presiden Prabowo Subianto dalam satu jamuan makan tengah hari tertutup,” kata Wisma Putra.

Sebagai Pengerusi ASEAN pada tahun 2025, Malaysia dan Indonesia dijangka bertukar pandangan mengenai usaha memperkukuh Pembinaan Komuniti ASEAN, kerjasama serantau, dan pendekatan bersama dalam menangani cabaran global.

Pada tahun 2023, Indonesia merupakan rakan dagang ketujuh terbesar Malaysia di peringkat global dan ketiga terbesar dalam kalangan negara anggota ASEAN, dengan jumlah dagangan sebanyak RM111.21 bilion (USD24.39 bilion).

Dari Januari hingga Oktober 2024, jumlah dagangan dua hala telah mencecah RM95.50 bilion (USD20.75 bilion), berbanding RM94.37 bilion (USD20.69 bilion) dalam tempoh yang sama pada tahun 2023.

BACA JUGA Video montaj Visit Malaysia 2026 jadi kontroversi, menteri beri respon

Â